MPHS sita barang perniagaan milik penjaja yang gagal mematuhi notis am berkaitan larangan menjaja di kawasan sekolah. Foto: Facebook MPHS
HULU SELANGOR - Meskipun telah diberi notis am dan kawasan berkenaan jelas dipaparkan sebagai zon larangan, segelintir peniaga masih berdegil menjalankan aktiviti menjaja berhampiran Sekolah Kebangsaan Bukit Sentosa, di sini.
Susulan itu, Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) mengambil tindakan tegas dengan melaksanakan operasi sitaan terhadap penjaja yang mengingkari arahan dan berniaga tanpa kebenaran.
MPHS memaklumkan, notis am di bawah UUK 3, Undang-Undang Kecil Penjaja (MDHS) 2007 telah dikeluarkan pada 22 April 2025, namun tidak dipatuhi.
"Untuk makluman, aktiviti menjaja di kawasan sekolah dalam radius 40 meter dari pagar sekolah adalah dilarang sama sekali atas faktor keselamatan dan kesihatan.
"Selain itu, ia juga bagi mengelakkan gangguan kepada persekitaran institusi pendidikan.
"Tambahan pula, di sekitar kawasan sekolah tersebut telah dipasang papan tanda larangan menjaja tetapi pihak penjaja masih gagal mematuhi arahan yang telah ditetapkan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Dalam pada itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mengingatkan kepada orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan, khususnya berhubung aktiviti penjajaan di kawasan larangan.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang. Para penjaja diminta untuk menjaja di kawasan yang dibenarkan oleh MPHS," ujarnya.
Kemaskini pada 2025-06-25 08:32:01 daripada Administrator