
HULU SELANGOR – Kebakaran melibatkan kawasan hutan simpan seluas 56 ekar di Jalan Genting, dekat sini, sejak Selasa menyukarkan operasi pemadaman apabila laluan masuk sukar dikesan selain tiada punca air di lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.34 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu telah dikejarkan ke lokasi.Menurutnya, siasatan awal komander operasi di lokasi mendapati kebakaran melibatkan kawasan hutan simpan dengan keluasan dianggarkan lapan ekar.

"Bagaimanapun, tiada laluan masuk ke lokasi menyebabkan kerja-kerja pemadaman tidak dapat dilakukan pada awalnya.
"Anggota bomba bertugas kemudian menemui laluan masuk sekitar jam 9 malam dan ketika itu kebakaran telah merebak sehingga 50 ekar," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Katanya, Pusat Kawalan Bomba (PKB) dibuka sekitar jam 9 malam bagi menyelaras operasi tersebut."Operasi melibatkan tujuh anggota dengan kekuatan satu jentera FRT bersama komander operasi serta komander operasi kanan."Atas faktor keselamatan dan tiada punca air, pasukan bomba mengambil keputusan untuk menangguhkan operasi pemadaman," katanya.

Menurutnya lagi, setakat jam 2 petang, kebakaran telah merebak satu lagi ekar menjadikan keluasan keseluruhan 56 ekar.
"Kerja-kerja pemadaman kini sedang giat dilakukan di lokasi.
"Kita juga sedang menunggu bantuan unit udara JBPM untuk melakukan pemadaman dari udara, manakala pasukan khas STORM turut digerakkan ke lokasi bagi membantu," katanya.
Ahmad Mukhlis berkata, setakat ini, tiada kecederaan dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan.
Sumber :Sinar harian
Kemaskini pada 2025-07-24 07:28:26 daripada Administrator