ULU YAM - Penduduk Kampung Sungai Chik tertekan apabila terpaksa menghidu bau busuk dari kolam ikan keli di Vegri Park, Ulu Yam Baru.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Shuhaip Hussain berkata, kolam ternakan ikan keli itu sudah wujud sejak 10 tahun lalu.

“Jarak antara kolam itu kira-kira 300 meter. Walaupun agak jauh, tapi ia tetap berbau busuk.

“Saya difahamkan, pekerja di sana memberi organ dalaman ayam sebagai makanan ikan keli dan jadi punca bau busuk ni,” katanya kepada Sinar Harian.

Penduduk, Mohd Ismail, 45 berkata, pihaknya cukup tertekan kerana terpaksa menghidu bau busuk dan risau akan jejaskan kesihatan keluarga.

“Kalau hari hujan, bau busuk jadi bertambah kuat sampai hilang selera makan.

“Kira-kira 200 penduduk dari 50 kawasan perumahan di situ rasa tertekan dengan keadaan ini,” katanya.

Ahli Majlis Hulu Selangor, Low Choon Yong berkata, pihaknya sudah pun maklum berhubung perkara itu dan difahamkan organ dalaman ayam yang diberi kepada ikan keli sudah busuk.

“Umpan yang sudah busuk diberi kepada ikan menyebabkan bau lebih busuk terhasil hasil sisa buangan ikan keli itu.

“Kawasan kolam seluas enam hektar itu sememangnya mencemarkan bau hingga mengganggu penduduk.

“Selepas turun padang, kita dapati pemilik kolam mempunyai lesen perikanan sah dan sudah beroperasi sejak Mei 2006 lagi.

“Difahamkan, pemilik juga akan membina bilik mesin bagi memecahkan organ dalaman ayam lebih jauh dari kawasan perumahan dan kerja pembinaan dijangka siap selepas Aidilfitri,” katanya.

Beliau turut meluahkan rasa bimbang air kolam ikan itu melimpah dan mempunyai risiko untuk mencemarkan Sungai Liam.

“Kita akan berusaha mengadakan pertemuan dengan pemilik kolam untuk mencari lebih banyak lagi fakta sebelum menentukan kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah pencemaran bau ini,” katanya.