FELDA GEDANGSA - Angin kencang dan ribut melanda Felda Gedangsa, Hulu Selangor lewat petang tadi mengakibatkan beberapa bumbung rumah diterbangkan angin. 
 
‎Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Mohd Mansor Sarif berkata, dalam kejadian itu lebih 30 rumah penduduk kampung terjejas teruk.
 
"Kebanyakan bumbung rumah dilanda ribut ‎terbang ditiup angin. 
 
"Hujan batu melanda disertai angin kencang bermula lebih kurang jam 6.30 hingga 7 petang tadi," katanya kepada Sinar Harian.
 
Beliau berkata, angka rumah yang rosak masih belum dipastikan lagi kerana pihaknya masih perlu memeriksa lebih lanjut lagi keadaan di kawasan kampung itu.
 
"Kejadian ini antara yang paling buruk pernah terjadi kerana belum pernah lagi ribut teruk melanda kampung kami. 
 
"Kalau ada pun angin kencang biasa. Kali ini lebih teruk lagi sampai banyak rumah rosak dan pokok besar tumbang," katanya.