Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
jata2

PORTAL RASMI
PEJABAT DAERAH / TANAH HULU SELANGOR
BERDISIPLIN, AKAUNTABILITI, INTEGRITI, KERJA BERPASUKAN

 

Faq
Soalan
Lazim
HubungiKami
Hubungi
Kami
Aduan
Aduan dan
Maklum Balas
Peta
Peta
Laman

Dari Minat bertukar Jadi Lubuk Rezeki

Dari minat bertukar jadi lubuk rezeki
Pojie menunjukkan hasil seni kayu yang dijadikan koleksi peribadi yang tidak akan dijual kepada pelanggan.

BUKIT SENTOSA - Bermula dengan minat yang mendalam dalam hasil seni kayu, Fauzi Mat Isa, 41 atau lebih mesra disapa Pojie Soeharto mula mengatur langkah dalam membina jaringan kerjaya dengan berbekalkan  hasil seni kayu.

Mula bergiat aktif dalam penghasilan hulu dan sarung parang, Pojie kini melangkah setapak lagi dengan menghasilkan paip rokok sebagai produk terbaru hasil seninya.

“Saya mula bergiat aktif dalam hasil seni kayu ni sejak 2013. Bermula dengan minat, saya kemudian tekad berguru dengan seseorang di Gesir Tengah, Hulu Selangor yang popular dengan pelbagai hasil seni kayu.

“Seminggu dua kali jugalah saya jumpa dia untuk berguru dan belajar bagaimana nak hasilkan sarung dan hulu parang yang betul-betul cantik dan halus pembuatannya.

“Ramai juga yang datang belajar di sana tapi yang betul-betul minat dan komited saja yang boleh hasilkan seni ini, kalau sekadar datang tapi tak berapa minat pun tak boleh jadi juga,” katanya memulakan perbualan.

Bermula dengan penghasilan hulu dan sarung parang buatan sendiri, hasil seninya mendapat tempat di kalangan rakan-rakan rapat dan jiran tetangga sebelum dia mencuba mempromosikan hasil seninya di media sosial.

“Pada awalnya hanya cuba suka-suka. Buat dan hasilnya saya simpan sendiri buat koleksi peribadi.

“Tapi, selepas ada yang menunjukkan minat membeli hasil seni yang saya buat, saya berani buka tempahan sedikit demi sedikit.

“Pelanggan pula sekarang terdiri daripada sahabat, jiran tetangga, penggemar koleksi kayu dan juga pelanggan dari media sosial.

“Saya aktif melalui Facebook dan sertai komuniti Seni Kayu Batu dan Logam Malaysia. Sekarang ni pelanggan saya 70 peratus memang datang dari Facebook manakala selebihnya dari kalangan rakan-rakan dan jiran tetangga,” katanya.

Hanya guna kayu berkualiti tinggi

Pojie berkata, hasil seninya hanya menggunakan kayu berkualiti tinggi bagi memastikan hasil yang dikeluarkan mempunyai kualiti yang sama dengan kayu yang digunakan.

“Ikut juga pada kemampuan dan bajet yang disediakan pelanggan. Tapi selalunya mereka pun tahu kayu mana yang hasilkan produk berkualiti. Jadi sudah pasti kayu yang berkualiti tinggi juga jadi pilihan mereka.

”Kebanyakan pelanggan akan memilih kayu kemuning emas, penawar hitam, arang dan bunga serian. Itu antara empat jenis kayu yang top dipilih pelanggan saya. Kayu paling berkualiti ialah kemuning emas dan penawar hitam kerana bila dah siap sarung parang tu nanti, hasilnya memang cantik.

“Stok kayu pula saya sendiri akan cari dari pembekal di Perak dan Pahang kerana pembekal selalunya tidak akan datang pada kita, jadi saya sendiri kena usaha beli dari pembekal dan pilih jenis kayu yang saya mahu guna untuk hasilkan produk seni kayu permintaan pelanggan,” katanya.

Menurutnya lagi, pelanggan yang paling jauh pernah menggunakan khidmatnya datang dari Brunei.

“Selalunya pelanggan yang berurusan dengan saya pasti akan datang dan tempah lagi. Mungkin kerana kualiti produk yang saya pentingkan dalam menghasilkan sarung dan hulu parang ini.

“Bilah parang juga saya boleh sediakan tetapi ia perlu ditempah khas kerana saya hanya hasilkan hulu dan sarung saja. Tetapi ada juga pelanggan yang sudah bawa siap-siap bilah parang, jadi saya hanya hasilkan sarung dan hulunya saja.

“Kepuasan hati pelanggan juga jadi aspek penting dalam perniagaan ini kerana dari situ juga pelanggan akan promosikan produk saya kepada orang lain. Jadi saya mesti pastikan setiap produk saya menepati cita rasa pelanggan,” katanya.

Raya korban jadi lubuk rezeki

Tidak menafikan menjelang hari raya korban, ia menjadi lubuk rezeki buat Pojie kerana ketika itu tempahan dari pelanggan melonjak naik.

“Untuk raya korban saja, saya selalunya dapat 30 tempahan kerana kita tahu orang akan pakai banyak parang untuk tujuan sembelih dan lapah daging.

“Setiap bulan pula saya akan terima tidak kurang 20 tempahan dan selalunya dalam sehari saya mampu hasilkan satu hingga dua set parang untuk pelanggan bergantung juga kepada masa yang saya ada kerana saya bukanlah ada 24 jam untuk hasilkan produk kayu ni.

Saya pun ada kerjaya tetap saya sendiri.

“Tetapi kerana minat, saya jadikan ini sebagai kerja sambilan saya. Lagi pun dengan kos sara hidup yang makin tinggi ini, kerja tetap yang saya ada itu tak menjamin pun saya dapat sediakan wang yang cukup untuk keluarga.

“Dengan anak lima orang dan semua bersekolah, walaupun penat buat dua kerja dalam satu masa, kita akan tetap usaha yang terbaik buat keluarga,” katanya.

Menurutnya, seni kayu yang dihasilkan juga mampu menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 setiap bulan.

“Dengan wang hasil seni kayu ini, dapat jugalah saya menampung kehidupan kami sekeluarga,” ujarnya sambil tersenyum.

Sumber : Sinar Harian


Kemaskini pada 2015-10-09 08:45:22 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page