DASAR PRIVASI & KESELAMATAN || BANTUAN|| 
Reset Setting Change font size to lower sizeChange font size to original sizeChange font size to large size
T
T
T
jata jata2 PORTAL RASMI
PEJABAT DAERAH / TANAH HULU SELANGOR
BERDISIPLIN, AKAUNTABILITI, INTEGRITI, KERJA BERPASUKAN

Kongsi pengalaman cari guru hilang

Kongsi pengalaman cari guru hilang

Pasukan keselamatan dalam operasi mencari dan menyelamat Jashiah

KUALA KUBU BHARU - Anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mendedahkan pengalaman paling berharga mereka sepanjang operasi mencari dan menyelamat kehilangan guru besar, Jashiah Rabu, 43, yang hilang sejak 23 Oktober lalu dan menyifatkan ia pengalaman paling berharga.

Anggota JPAM, Mohd Shafiq Isnilaizar, 28, berkata, pengalaman mencari guru besar itu hingga mencecah 16 hari tanpa sebarang penemuan positif dianggap paling mencabar sepanjang dia bertugas sebagai anggota JPAM.

Menurutnya, bagaimanapun sehingga kini, dia bersama-sama pasukan keselamatan yang lain dari hari pertama operasi mencari dan menyelamat Jashiah tidak ada petunjuk positif sama sekali.

“Walaupun begitu, kita sama-sama juga terus komited untuk mencari mangsa. Sejujurnya, pasukan keselamatan pun dah tidak ada idea anak cari di mana lagi sebab kita dah jelajah seluruh kawasan hutan yang kita jangka Jashiah pergi, tapi tidak ada juga sebarang petunjuk.

“Kami kini fokus tiga tempat iaitu di sekitar Bukit Kutu, Sungai Roh dan kawasan kebun kelapa sawit bagi menjejaki Jashiah,” katanya ditemui di khemah keselamatan PDRM Buluh Telur, kelmarin.

Jashiah dikatakan hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman Seruling ketika suaminya keluar mengambil anak mereka di Rawang.

Khemah keselamatan PDRM juga sudah ditutup bermula kelmarin buat sementara waktu sehinggalah jika ada penemuan positif berhubung kehilangan Jashiah untuk dibuka semula.

“Ada juga cerita mistik mengenai kehilangan Jashiah dan dikatakan disorok tapi kami sebagai pasukan keselamatan tidak bolehlah percaya bulat-bulat dengan kisah tu.

“Lagipun kita percaya dengan bukti saintifik sebelum boleh buat sebarang kenyataan. Jika ada orang kampung yang buat cerita mistik tu, kita buat tak tau saja. Apa yang penting, fokus dengan misi pencarian dan tidak boleh putus asa dalam mencari Jashiah,” katanya.

Bagi Azril Rushdan Zuraimi, 21, dia mengakui operasi mencari dan menyelamat yang berlanjutan hingga hari ke-16 mencabar mental dan fizikal sebagai anggota keselamatan.

“Jujurnya memang penat. Mula mencari selalunya seawal jam 8 pagi dan berlanjutan hingga jam 7. Itu pun ikut arahan polis. Kadang-kadang tu lebih dari tu kami perlu masuk hutan.

“Susah juga nak cakap sama ada dia masih selamat atau tidak sebab kita dah cari seluruh kawasan, tapi masih tak jumpa.

“Apa yang perlu sekarang ni teruskan juga misi mencari dan sama-sama kita tawakal kepada Allah. Tidak boleh putus asa begitu saja sebab hingga kini tiada sebarang penemuan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam berkata, walaupun khemah keselamatan PDRM sudah ditutup buat sementara waktu, tetapi operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan.

“Kita akan terus pergiatkan usaha mencari dan menyelamat Jashiah tanpa putus asa, buat masa ini memang tiada lagi sebarang penemuan positif tetapi kita masih yakin dia berada di sekitar kawasan pencarian.

“Sama-sama kita berdoa supaya usaha mencari dan menyelamat ini membuahkan hasil,” katanya.


Kemaskini pada 2015-11-16 09:29:54 daripada

  •  
  • Print
  • Email this page