BATANG KALI - Adun Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar menzahirkan rasa simpati kepada mangsa kebakaran rumah, Jurita Johari dengan membuat lawatan bagi berkongsi rasa simpati.
Beliau bersama ahli Wanita Umno Hulu Selangor turut menghulurkan bantuan kepada Jurita yang juga merupakan Ketua Wanita Umno bahagian Batang Kali.
“Bagi menzahirkan rasa simpati, saya melawat Jurita hari ini dan ada dalam kalangan ahli Umno yang memberi sumbangan kepada mangsa.
“Rumahnya terlibat dengan kebakaran baru-baru ini dan kita sebagai wanita Umno terpanggil untuk membantu.
“Sokongan perlu diberikan bukan terhad kepada wang ringgit, tetapi juga sokongan moral kepada mangsa selepas kehilangan harta,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau turut memberi nasihat kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak sewenangnya meninggalkan rumah dalam keadaan suis elektrik tidak dipadamkan sepenuhnya.
“Malang itu tidak berbau dan kita sendiri mesti berwaspada dan sentiasa bersiap sedia serta mengambil langkah berjaga-jaga sebelum berlaku sebarang tragedi.
“Kalau mahu keluar rumah, pastikan semua suis ditutup kerana banyak kes kebakaran berlaku akibat tuan rumah tidak menutup suis sepenuhnya,” katanya.
Tambahnya, orang ramai juga perlu menyimpan nombor telefon pasukan keselamatan seperti balai bomba dan polis untuk memudahkan mereka membuat panggilan kecemasan dengan segera.
Kemaskini pada 2016-10-07 10:24:08 daripada Administrator