HULU SELANGOR - Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Tanjung Malim menghala Gedangsa di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi, mangsa, Ahmad Nazri Mohd Razali, 38, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di klinik kesihatan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika kereta Proton Saga yang dipandu seorang lelaki hilang kawalan ketika mengambil selekoh dan terbabas ke bahu jalan sebelah kanan.

Menurutnya, pemandu kereta berusia 22 tahun itu cuba memasuki laluan asalnya semula sebelum dirempuh motosikal Yamaha 125z dinaiki mangsa yang datang dari arah bertentangan dan menyebabkan kedua-dua kenderaan terseret ke bahu kiri jalan.

“Kemalangan menyebabkan pemandu kereta patah kaki selepas tersepit dan dikejarkan ke Hospital Slim River untuk rawatan.

“Manakala, penunggang motosikal dikejarkan ke Klinik Kesihatan Sungai Selisik. Mangsa, bagaimanapun disahkan meninggal dunia kerana cedera parah," katanya.

Supramaniam berkata, mangsa yang maut dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.