BUKIT SENTOSA - Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menjalankan operasi sita terhadap premis yang enggan melunaskan cukai taksiran dan mempunyai tunggakan.

Pegawai Komunikasi Korporat MDHS, Junainah Abdullah berkata, operasi dijalankan di sekitar Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa.

“Sebanyak 19 waran dikeluarkan ke atas premis yang gagal membayar cukai taksiran dan mempunyai tunggakan cukai dengan MDHS.

“Sebelum operasi dibuat, kita telah beri notis dua minggu lebih awal iaitu 14 hari sebelum operasi bagi memudahkan mereka melunaskan tunggakan cukai," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Bagaimanapun, menurutnya, MDHS berhak mengeluarkan waran ke atas premis yang gagal menjelaskan cukai dalam tempoh enam bulan.

"Selepas notis 14 hari dikeluarkan, masih ada premis masih berdegil dan enggan melunaskan cukai. Justeru itu, kita terpaksa merampas semua peralatan dan perkakas premis serta menyerahkan waran kepada premis terlibat,” katanya.

Katanya, pemilik premis boleh menuntut semula peralatan dan perkakas yang dirampas MDHS bagaimanapun perlu menjelaskan cukai terlebih dahulu.

“Premis yang terlibat dalam operasi ini ada yang gagal jelaskan cukai hingga RM9,000.

“Untuk rekod, bermula Januari hingga kini, MDHS telah mengeluarkan 120 waran ke atas premis yang gagal melunaskan cukai dan mempunyai tunggakan,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan premis akan tampil membuat bayaran selepas sitaan.

“Setakat ini, kita belum lagi membuat lelongan ke atas barangan premis kerana kebanyakan mereka akan tampil membuat bayaran.

“Jika ada pihak yang masih keliru dengan sistem kami, sila berhubung dengan majlis dan kita boleh berbincang bagi mengelakkan sebarang kekeliruan berlaku," katanya.

Menurutnya, unit sitaan MDHS akan bergerak ke seluruh Hulu Selangor setiap hari dan mempunyai uniform khas.

“Selain uniform khas, unit ini juga bergerak dengan 10 kekuatan anggota,” katanya.