HULU YAM - Seorang wanita maut manakala suaminya cedera apabila motosikal ditunggangi mereka terbabas selepas terlanggar babi hutan di Jalan Ulu Yam Bharu menghala ke Sungai Tua, kelmarin.

Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam berkata, dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.45 pagi itu, mangsa, Nurmastura Abdul Aziz, 34, maut di tempat kejadian manakala suaminya yang membonceng motosikal itu, Muhamad Faizal Muhamad Syukor, 35, mengalami kecederaan di bahagian kepala.

“Motosikal yang ditunggang wanita itu hilang kawalan dan terbabas ke tengah jalan menghala ke Sungai Tua selepas seekor babi hutan tiba-tiba melintas di hadapan mereka.

“Tiada kenderaan lain terlibat dalam kejadian itu. Suaminya kemudian dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu dan mendapat rawatan pesakit luar, mangsa pula yang cedera parah di bahagian badan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, seorang penunggang motosikal parah gara-gara melanggar seekor anjing liar dalam kemalangan jalan raya di Jalan Sungai Choh menghala Bukit Beruntung di sini, semalam.

Mangsa, Muhammad Sabri Suboh, 27, berasal dari Bukit Sentosa.

Supramaniam berkata, kejadian berlaku berhampiran dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Choh kira-kira jam 6.50 pagi semalam.

“Ketika menunggang motosikal mangsa terjatuh selepas terlanggar anjing liar.

“Keadaannya bertambah parah apabila mangsa dikatakan dilanggar sebuah kereta dari arah bertentangan mengakibatkan mangsa tercampak,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Bagaimanapun, nombor plat kereta yang melanggar mangsa tidak dapat dikenal pasti.

“Mangsa kemudian dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Selayang akibat cedera di bahagian kepala,” katanya.