KUALA KUBU BHARU - Tiga pendaki lelaki dan seorang wanita berusia 20 tahun terkandas di Gunung Rajah, Bentong sejak petang kelmarin, selepas dua daripada mereka mengalami kecederaan kaki.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam berkata, kesemua mangsa dilaporkan mula mendaki gunung berkenaan kira-kira jam 5 pagi melalui Kampung Orang Asli Pertak sebelum tiba di puncak sekitar jam 1 tengah hari.

“Masalah mula timbul apabila mereka tidak boleh turun dari gunung berkenaan selepas dua daripadanya cedera kira-kira jam 3 petang, menyebabkan proses menuruni gunung menjadi sukar," katanya.

Menurutnya, maklumat awal memaklumkan empat pendaki terkandas di puncak Gunung Rajah diterima dari pusat kawalan kira-kira jam 7 petang, kelmarin.

“Usaha mencari dan menyelamat digerakkan sebelum semua mangsa ditemui selamat dan kelaparan.

"Dua daripada mereka didapati cedera pada kaki dan semuanya tidak mampu berjalan akibat keletihan," katanya.

Difahamkan, Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu terpaksa menggunakan helikopter untuk membawa semua mangsa turun kira-kira jam 3.30 petang, semalam.