LANGKAH terbaik bagi mengelak berlakunya insiden kebakaran atau letupan di stesen minyak adalah dengan mencegah punca haba yang boleh menjana percikan api atau sebarang pencetus api, demikian menurut Ketua Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar Petronas Dagangan Berhad, Tariq Ashra Sulaiman.

Beliau berkata haba atau turut dikenali sebagai pencetus kebakaran boleh datang daripada pelbagai sumber seperti pemetik api, puntung atau bara rokok, bateri telefon bimbit serta tidak terkecuali bateri yang terdapat pada peralatan permainan kanak-kanak.

"Disebabkan kita tidak boleh mencegah kehadiran udara (oksigen) dan petrol semasa di stesen minyak, jadi cara terbaik yang boleh dilakukan adalah menghalang penghasilan haba atau pencetus api.

"Untuk itu, Petronas sentiasa mengingatkan para pelanggan agar mematuhi undang-undang yang ditetapkan seperti mematikan enjin kenderaan semasa mengisi minyak. Ini kerana enjin kenderaan adalah sumber haba yang paling berisiko dan berbahaya selain tindakan pelanggan yang menghisap rokok dan menggunakan telefon bimbit semasa sedang mengisi minyak," katanya kepada Bernama.

BATERI SEBAGAI PENCETUS

Dalam kejadian 24 Jun lepas, seorang kanak-kanak nyaris maut apabila melecur teruk di muka dan badan selepas disambar api kerana dipercayai bermain pemetik api ketika ibunya sedang mengisi petrol ke kereta di Sungai Pas, Kuala Krai di Kelantan.

Dalam insiden lain, seorang wanita melecur di bahagian badannya apabila telefon bimbit yang digunakan ketika sedang mengisi minyak disambar api di sebuah stesen minyak di Kuala Lumpur, pada 28 Jun lepas.

Ditanya mengenai tindak balas penggunaan telefon bimbit yang dikaitkan sebagai punca berlakunya kebakaran dan letupan di stesen minyak dalam insiden di Kuala Lumpur, Tariq Ashra berkata penggunaan bateri dalam sesuatu peralatan termasuklah telefon bimbit berupaya menghasilkan cas atau pencetus.

"Sebagai contoh, cuba kita ambil satu bateri dan sentuhkannya pada satu wayar dan kita boleh nampak percikan api daripada wayar berkenaan. Justeru, adalah lebih baik mematikan telefon bimbit serta semua gadjet dan peralatan yang mempunyai tenaga (bateri) termasuklah peralatan komputer seperti iPad, 'tablet', 'power bank', serta jam tangan yang berhubung dengan telefon pintar ketika sedang mengisi minyak.

"Namun, kita juga sedia maklum bahawa perkara ini perlu dilihat daripada segi praktikal dan alternatif lain adalah dengan matikan sahaja enjin kenderaan dan tinggalkan gadjet di dalamnya.

"Perbuatan mengecas telefon bimbit atau sebarang gadjet serta memasang radio ketika mengisi minyak boleh mencetuskan cas. Justeru, dengan mematikan enjin kenderaan, semua sistem (kenderaan) akan turut terpadam," katanya.

BUKAN ELEKTROSTATIK

Tariq Ashra, yang turut menyentuh tentang elektrostatik yang dikaitkan dengan kejadian kebakaran sebelum ini, bagaimanapun tidak bersetuju dengan perkara berkenaan.

Meskipun banyak laporan media mengulas kejadian letupan dan kebakaran berkenaan berpunca dengan elektrostatik di samping mengaitkannya dengan pergerakan keluar dan masuk kereta, beliau secara peribadi berpendapat punca insiden kebakaran itu wajar dilihat dan disiasat daripada pelbagai faktor.

Petroleum Equipment Institute yang berpangkalan di Amerika Syarikat dilaporkan sebagai menyatakan bahawa elektrik statik yang ada pada badan seseorang boleh menyebabkan percikan api apabila bersentuhan dengan wap petrol.

"(Sepanjang pengetahuan saya) Di Malaysia, keadaan cuaca adalah sangat lembab, kelembapan (humidity) sangat tinggi, dan adalah amat sukar elektrostatik terhasil daripada pergerakan sebegitu, lebih-lebih lagi yang boleh menghasilkan cetusan api," katanya.

Tariq Ashra turut berpendapat risiko kebakaran di tempat terbuka disebabkan aktiviti mengisi minyak adalah sangat rendah ekoran wap-wap yang terhasil akan segera disebarkan ke udara dan jatuh pada tahap selamat.

PASTIKAN KENDERAAN SELAMAT       

Meskipun sukar bagi wap-wap itu terkumpul di dalam kenderaan semasa mengisi minyak ke dalam tangki kenderaan, beliau tidak menolak kemungkinan letupan atau kebakaran masih boleh berlaku disebabkan faktor keadaan kenderaan itu sendiri, sekali gus mengundang kepada kejadian buruk.

"Kereta biasa, tangki minyak di belakang dan enjin di depan, jadi di antara tangki minyak dan enjin akan ada satu saluran dan sekiranya saluran itu bocor semasa kita mengisi minyak, banyak wap akan keluar dan masuk dalam kereta. Apabila wap sudah terkumpul ia sangat mudah terbakar atau meletup.    

"Jadi selain keselamatan di stesen minyak, orang ramai perlu memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik dan selamat. Contohnya, jika selepas mengisi minyak dan beredar dari stesen minyak, namun masih terhidu bau petrol, ia adalah tanda-tanda terdapat kebocoran pada kenderaan dan perlu diperiksa untuk keselamatan," katanya.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar lebih prihatin dan peka terhadap anak-anak yang berada bersama dalam kenderaan ketika hendak mengisi minyak.

Selain mematuhi peraturan yang ditetapkan dengan mematikan enjin kenderaan serta peranti telekomunikasi, Tariq Ashra berkata adalah lebih selamat bagi setiap penumpang termasuk anak-anak keluar daripada kenderaan ketika mengisi minyak. - Bernama