KUALA KUBU BHARU - Seorang pelajar perempuan hilang, ketika menyertai aktiviti perkhemahan di Sungai Chiling, Pertak, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa yang berusia 14 tahun itu dikatakan mengikuti perkhemahan bersama-sama 47 orang pelajar yang lain.

Penolong Pengarah Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, mereka menerima laporan berkenaan kejadian itu kira-kira jam 3.20 pagi petang seterusnya melancarkan operasi mencari dan menyelamat melibatkan 17 anggota diketuai PPgB Kamil Hamadan.

Selain itu, operasi juga melibatkan enam anggota polis dan empat sukarelawan.

"Anggota bomba membuat pemeriksaan dan pencarian di sekitar kawasan perkhemahan pada bahagian laluan darat dan sungai.

"Keluasan kawasan pencarian dianggarkan 1 kilometer radius dan masih lagi gagal menjumpai mangsa.

"Pasukan penyelamat terbahagi kepada dua kumpulan dan turun kali keempat di kawasan air terjun dan menyusuri hingga ke Kuala Sungai Pertak.

"Manakala, unit Scuba FRAM (Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia)  juga hadir untuk membantu pencarian di hotspot air terjun," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, maklumat terbaru yang diterima pihaknya menemui tudung dan kasut dipercayai kepunyaan mangsa di sekitar air terjun.

"Keluarga mangsa mengesahkan barang berkenaan adalah milik mangsa," katanya.