ULU YAM BHARU – Buat julung kalinya, Masjid al-Falah Ulu Yam Bharu berjaya mengadakan Program Khatan Perdana 2016 di sini, Ahad lalu.

Program khatan perdana ini diadakan hasil usahasama dengan pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Mais mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk.

Uniknya, penyertaan ini mencecah 55 orang yang terdiri daripada keluarga asnaf dan keluarga kariah Ulu Yam Bharu.

Program ini juga diketuai oleh Biro Kebajikan, Asnaf dan Khairat dan mendapat tajaan bersama daripada L&H Catering dan juga Cahaya Timur Holidays Sdn Bhd.

Nazir Masjid Al-Falah, Radzali Mokhtar berkata, pihak masjid mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak LZS kerana sudi menaja semua anak-anak asnaf yang menyertai program khatan perdana ini

"Harapan kami agar hubungan ukhuwah di setiap lapisan masyarakat Islam dapat dikukuhkan lagi agar lebih banyak lagi program-program agama dan kemasyarakatan  dapat dilaksanakan lagi.

“Usaha murni seperti ini perlu diteruskan lagi dengan pelbagai program agar fungsi masjid dapat ditingkatkan lagi dari semasa ke semasa. Dengan mengimarahkan fungsi masjid sebagai aktiviti masyarakat setempat, Insya ALLAH, keberkatan dan rahmatNya akan dirasai oleh semua orang.

"Masjid bukanlah tempat aktiviti kuliah dan tazkirah semata-mata, malah ianya perlu diperluaskan lagi dengan pelbagai aktiviti ummah seperti kelas pengajian AL-Quran, program cuti sekolah, majlis walimatul urus, aktiviti remaja dan sebagainya," katanya dalam ucapannya,

Program khatan perdana 2016 ini turut dirasmikan Ketua Kampung JKKK bagi mukim Masjid Al-Falah, Rosli Hussian.