
BANTING - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNK) Daerah Sepang dan Kuala Langat tidak menerima aduan mengenai penjualan produk makanan yang meragukan di sekitar Banting susulan penjualan bihun cap masjid yang tersebar sebelum ini.
Pegawai Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNK) Sepang/Kuala Langat, Mohamad Ziyad Kamarudin berkata, sehingga kini tiada aduan diterima mengenai penjualan produk makanan terbabit.
"Namun, sekiranya ada aduan pihak kami akan menjalankan siasatan," katanya sekali gus menasihati orang awam supaya lebih peka dengan persekitaran terutama apabila membeli bahan makanan yang meragukan.
Katanya, sekiranya mendapati produk yang ingin dibeli tidak memenuhi syarat kebersihan ia patut ditinggalkan.
“Bagaimanapun, sebelum ini aduan mengenai kehabisan stok minyak masak dan tepung gandum yang didakwa membimbangkan penduduk setempat turut diambil tindakan segera.
“Anggota kami telah turun padang ke beberapa premis penyimpanan bahan mentah terbabit sekitar Kuala Langat dan mendapati masih mencukupi,” katanya.
Ziyad memaklumkan, jika terdapat penjualan produk makanan yang meragukan pengguna boleh membuat aduan.
Semalam, Sinar Harian melaporkan rata-rata suri rumah di daerah ini mula bimbang dengan isu produk makanan yang diragui proses pembuatan dan status halal sehinggakan golongan itu kini lebih cerewet untuk memilih produk makanan dalam pasaran.
Kemaskini pada 2016-05-27 12:28:07 daripada Administrator