.jpg)
BANTING - "Hancur luluh hati saya tengok semuanya hangus terbakar..." kata seorang isteri yang sebak apabila mendapati set sofa dan kelengkapan perabot lain termasuk televisyen hadiah dari suami sempena ulang tahun perkahwinan musnah dalam kebakaran kira-kira jam 1.30 petang, kelmarin.
Ang Soo Leng, 37, berkata, setelah dimaklumkan jiran bahawa rumahnya sedang terbakar, terus bergegas pulang dari tempat kerja.
Katanya, setibanya di rumah, jiran-jiran menghalangnya masuk ke dalam rumah kerana ruang tamu sudah dipenuhi asap.
"Ketika itu, saya hanya harap api tak merebak ke ruang atas. saya hanya mampu melihat keseluruhan ruang tamu yang dilengkapi perabot dan set TV hadiah ulang tahun perkahwinan dari suami musnah depan mata.
"Sedih sangat saya rasa... apa yang tinggal hanyalah serpihan kayu hitam di ruang tamu," katanya menceritakan detik cemas itu.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana ketika kejadian, suaminya Loh Chee Shyong dan anak-anak tak ada di rumah.
Suaminya, Chee Shyong pula memberitahu, ketika kejadian dia keluar membeli barang di Tanjung Sepat.
"Bila isteri telefon beritahu, saya cepat-cepat balik. Terkejut betul saya bila tengok ruang tamu rumah dan sebahagian bilik di tingkat atas musnah," katanya sambil memberitahu ketika kejadian isterinya keluar bekerja sementara dua anak mereka masing masing berumur lapan dan sembilan tahun ke rumah saudaranya.
“Saya tak pasti macam mana kebakaran ni boleh jadi. Tapi saya anggarkan kami kerugian sekitar RM20,000. Buat masa ini, saya terpaksa tumpang bilik jiran sampai keadaan rumah kembali pulih,” katanya sayu.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Banting, Jazlizad Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 1.54 petang dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.
Katanya, pihaknya terpaksa menggunakan satu aliran hos 100 kaki dan satu pancutan air tangki dari jentera bomba untuk mengawal kebakaran daripada terus merebak.
“Api dapat dikawal sepenuhnya dalam masa 45 minit dengan kekuatan sebuah jentera bomba dengan enam anggota. Siasatan mendapati keseluruhan ruang tamu mangsa dan sebahagian sebuah bilik di tingkat atas musnah. Tiada kemalangan jiwa
berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Zon 13, Ang Lee Yong, berkata, beliau simpati dengan nasib keluarga berkenaan dan akan memanjangkan perkara itu kepada pihak terlibat untuk tindakan susulan.
Kemaskini pada 2016-05-27 12:27:52 daripada Administrator