.jpg)
BANDAR SAUJANA PUTRA - Dua beranak berhadapan detik cemas apabila nyaris terperangkap dalam kebakaran di rumah mereka di Bandar Saujana Putra, petang kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 5 petang itu berlaku ketika mangsa, Mohd Azlee Abd Aziz bersama anak perempuannya berusia dua tahun sedang lena tidur.
Dia yang terjaga setelah terbau asap terbakar dari arah sebuah bilik yang dijadikan dapur terus bergegas berlari ke ruang berkenaan dan mendapati asap dah mulai memenuhi sebahagian rumahnya.
“Saya terkejut, terus ambil anak yang sedang lena tidur di bilik utama.
"Dalam keadaan panik nak selamatkan diri tu, tiba-tiba pintu rumah tak boleh nak dibuka serta merta. Memikirkan keselamatan kami berdua, saya terus pecahkan pintu dengan menendangnya berkali-kali," katanya menceritakan detik cemas berkenaan.
Mohd Azlee berkata, setelah berjaya keluar dari dalam rumah, dia melihat ramai jiran berkumpul di hadapan rumahnya.
"Jiran-jiran jerit panggil nama saya minta saya lekas turun selamatkan diri," katanya yang tinggal di rumah flat empat tingkat.
Azlee bagaimanapun bersyukur kerana nyawanya bersama anak selamat dan menganggap kejadian itu sebagai pengajaran kepadanya
"Alhamdulillah saya dan anak selamat. Terima kasihlah kepada jiran-jiran yang saya anggap hero sebab berani dan sanggup redah asap tebal semata-mata nak suruh saya keluar cepat," katanya.
Mohd Azlee berkata, semasa kejadian isterinya keluar bekerja manakala anak sulungnya bersekolah sementara dia bercuti untuk menjaga anak keduanya yang tidak sihat pada hari kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat, Jaslizad Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 5.52 petang dan tiba di tempat kejadian 33 minit kemudian.
Menurutnya, ketika kejadian ruang bilik yang dijadikan dapur itu sudah terbakar.
“Dengan kekuatan 12 anggota bomba dari Balai Bomba Banting dan Balai Bomba Cyberjaya pihak kami terpaksa menggunakan satu aliran hos 200 kali satu pancutan dari pam jentera bomba air tangki. Api dapat dikawal dan padam sepenuhnya kira-kira 30 minit kemudian.
Namun, keseluruhan bilik yang dijadikan dapur itu sudah musnah," katanya.
Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut sementara jumlah kerugian dimaklumkan anggaran RM20,000.
Jaslizad berkata, mujur tiada kemalangan nyawa berlaku dan meminta kerjasama orang awam supaya dapat meningkatkan keselamatan terutama apabila berada di rumah.
Katanya, beliau mahu masyarakat peka dengan persekitaran terutama yang melibatkan pendawaian elektrik atau dapur gas.
Kemaskini pada 2016-05-27 12:27:46 daripada Administrator