Atasi isu staff klinik tidak mesra
KUALA LANGAT - Semua lembaga penasihat Klinik Kesihatan Daerah Kuala Langat akan diberikan kursus bagi membentuk semua kakitangannya lebih mesra pelanggan.
Pengerusi Panel Klinik Kesihatan Daerah Kuala Langat, Abdul Razak Khasbullah berkata, kursus diberikan berikutan terdapat dakwaan sesetengah pelanggan mengenai perkhidmatan di klinik berkenaan yang kurang memberangsangkan.
Menurutnya, beliau tidak menolak kemungkinan masih terdapat segelintir kakitangan yang masih bersikap kurang sabar terhadap pelanggan.
“Akibatnya terdapat tindakan kurang senang di antara pelanggan dengan klinik berkenaan sehingga mencetuskan kemarahan pelanggan.
“Bagaimanapun aduan seumpama itu bakal diteliti bagi mengelakkan ia berlaku semula,” katanya yang turut menerima aduan mengenai rasa tidak puas hati pelanggan di beberapa klinik kesihatan.
Abdul Razak berkata, mengulas mengenai keadaan kemudahan yang terdapat di klinik kesihatan, beliau mengakui keadaan penghawa dingin dan kipas kadangkala tidak dapat berfungsi dengan baik namun segala perancangan untuk penambahbaikan sudah dimohon.
“Saya tak mahu disebabkan masalah kemudahan tersebut, pelanggan di klinik kesihatan semakin berkurangan dan tidak mendapat sambutan.
“Bagaimanapun saya yakin semua kakitangan klinik kesihatan memainkan peranan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, dalam jangka masa panjang beberapa klinik kesihatan bakal menerima bangunan baru bagi keperluan untuk menampung jumlah pelanggan yang ramai.
Bagaimanapun katanya, permohonan itu masih dalam tindakan pihak atasan namun panel kesihatan daerah sedaya upaya meningkatkan perkhidmatan kepada pelanggan dalam setiap situasi bagi mengelakkan masalah remeh daripada terus berlaku.
Sebelum ini pelbagai aduan diterima daripada pelanggan termasuk rungutan mengenai sistem giliran yang dilihat tidak bersistematik selain masalah kemudahan kipas dan penghawa dingin yang tidak mencukupi sehingga menyebabkan suasana di dalam klinik menjadi sedikit terganggu akibat kepanasan.
Kemaskini pada 2014-09-19 10:12:42 daripada Administrator