
Bertarung rebut kejuaraan karom
BANTING - Seramai 70 peserta dan 30 kumpulan menyertai Kejohanan Karom Terbuka Kuala Langat 2015 yang berlangsung di Dewan Kompleks Majlis Daerah Kuala Langat, Ahad lalu.
Kejohanan yang menggunakan papan bercorak geometri berbentuk segi empat sama dengan empat saku di setiap penjuru menjadi ruang medan pertarungan peserta yang sebenarnya jarang sekali dilihat.
Yang Dipertua MDKL, Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, melalui pertandingan itu, semua pihak khususnya golongan belia, dewasa serta veteran dapat bergiat aktif dalam bidang sukan itu selain membudayakan diri agar kekal berjiwa sukan.
Menurut beliau, pertandingan karom ini juga dapat mengeratkan lagi keakraban antara pemain karom.
Mohd Azhar berkata, rasional MDKL menganjurkan sukan ini adalah untuk memperkenalkan Kuala Langat dari sudut pelancongan sukan dan tempat bersejarah serta sebagai ‘hot-spot’ riadah seperti Pantai Morib dan Bukit Jugra.
Penganjuran kejohanan ini juga sekali gus akan mengharumkan nama MDKL di peringkat negeri dan kebangsaan, seterusnya menjadi dorongan pelbagai pihak menganjurkan kejohanan karom ini.
Kemaskini pada 2016-05-27 12:14:08 daripada Administrator