
Laluan alternatif masih boleh guna
TELOK PANGLIMA GARANG - Laluan alternatif ke Pusat Pengumpulan Hasil Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat di Telok Panglima Garang masih lagi dibuka kepada orang awam untuk menggunakannya.
Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Kuala Langat, Abdul Razak Khasbullah berkata, laluan di pusat pengumpulan itu sudah berwajah baru setelah dinaik taraf melalui peruntukan Pejabat Pembangunan Negeri Selangor (ICU).
Katanya, laluan sebelum itu yang merupakan kegunaan penduduk sekitar untuk ke kawasan berhampiran tanpa melalui jalan utama (jalan besar) menjadi tumpuan penduduk, namun sejak akhir-akhir ini menjadi tanda tanya sama ada ia boleh digunakan atau sebaliknya.
“Kita masih beri laluan kepada orang awam yang sudah biasa melalui kawasan itu, namun kita berharap hanya kenderaan ringan boleh memasuki kawasan tersebut.
“Sebelum ini memang kita berhasrat menaik taraf laluan tersebut dan masih mahu mengekalkan penggunaannya kepada orang ramai,” katanya kepada Sinar Harian mengulas mengenai Dataran Peladang yang masih digunakan orang awam di Batu 10 Kebun Baru.
Abdul Razak berkata, beliau mahu kemudahan itu dapat digunakan sebaiknya tanpa mewujudkan masalah lain.
Beliau berkata, pusat pengumpulan hasil terutamanya hasil cili itu menjadi semakin popular sejak pelbagai pihak mengambil hasil itu secara pukal setiap Isnin, Rabu dan Jumaat.
“Saya bangga pusat pengumpulan hasil pelbagai tanaman itu jadi tumpuan lebih-lebih lagi pemborong,” katanya.
Dalam pada itu, PPK turut menerima kunjungan pihak Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Arpan Shah Satu yang berhasrat meninjau tanaman cili fertigasi.
Beliau berkata, tanaman itu diharap dapat diperluaskan serta jumlah pengeluaran cili perlu dipertingkatkan.
“Saya mahu projek tanaman yang boleh dikomersialkan terus mendapat sambutan, sekali gus membantu petani di kawasan ini,” katanya.
Kemaskini pada 2016-05-27 12:13:51 daripada Administrator