BANGI, 20 MAC: Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menziarahi kediaman Penolong Pegawai Daerah Hulu Langat bagi memberikan sokongan moral selepas beliau sekeluarga menerima ugutan dengan lontaran tiga ‘Molotov Cocktail’ daripada pihak tidak bertanggungjawab pada 18 Mac lalu.
Mohamed Azmin bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Bangi, Dr Mohd Shafie Ngah serta Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Che Rosli Che Mat dan Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Abdul Ghani Mohamad Ji meluangkan masa hampir satu jam di rumah mangsa.

Mohamed Azmin yang ditemui sejurus kemudian memberitahu kejadian ini tidak melemahkan semangat penjawat awam bahkan Kerajaan Negeri tidak gentar dengan sebarang ugutan dan ancaman.
“Dia (mangsa) menegaskan kepada saya kejadian ini tidak melemahkan semangat beliau malah memastikan terus komited bagi menegakkan undang-undang. Kita (Kerajaan Negeri) akan bersama-sama menangani masalah ini.
“Saya berterima kasih kepada Polis kerana memberikan kerjasama baik kepada Kerajaan Negeri dan peringkat daerah bagi memastikan sebarang usaha menangani masalah khususnya kecurian pasir dan jenayah lain dapat ditangani secara bersepadu.
“Dengan usaha sedang dan dijalankan ini, kita dapat memberikan mesej jelas Kerajaan Negeri dan pimpinan tidak tunduk dengan sebarang ugutan serta ancaman daripada pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Katanya, jaminan keselamatan dan jalinan kerjasama diberikan Polis diperkukuh kerjasama kedua-dua pihak supaya semua tugas dapat dilaksanakan dengan baik.
“Di peringkat penjawat awam mereka bertindak secara profesional untuk memastikan peraturan dan undang-undang dapat dipertahankan serta menguruskan khazanah negeri dengan baik,” katanya.
Kejadian itu berlaku apabila mangsa sedar sekitar jam 6.30 pagi ketika beliau sedang bersiap untuk ke tempat kerja selain menemui tujuh butir peluru 9mm yang diletakkan dalam satu sampul surat.
Letupan itu mengakibatkan sebuah motosikal yang diletakkan di halaman rumah rosak selain kesan terbakar di lantai.
Ketika kejadian seluruh ahli keluarga mangsa di dalam rumah yang sudah didiami sejak dua tahun lalu dan difahamkan polis kini sudah memberkas beberapa suspek bagi membantu siasatan.
http://bm.selangorku.com/category/berita-selangor
Kemaskini pada 2016-03-30 11:12:27 daripada Administrator