Tetapan Semula Menukar kontras kepada cerahMenukar kontras kepada asalMenukar kontras kepada gelapKecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
    T
    T
    T
logo-jatalogo-suk

Portal Rasmi

KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Bahasa | English

65,000 asnaf, fakir, miskin dibantu LZS tahun ini

berita

HULU LANGAT, 20 NOV: Seramai 65,000 golongan asnaf, fakir dan miskin di negeri ini dibantu Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada tahun ini.

Ketua Operasi Agihan Hulu Langat LZS, Mohd Aqmal Jais berkata, daripada jumlah itu, 9,197 penerima adalah dari Hulu Langat.

Katanya, jumlah itu mungkin akan meningkat dari semasa ke semasa dan bergantung kepada kerjasama pihak Skuad Jejak Kemiskinan setiap daerah, pemimpin setempat dan masyarakat.

“Alhamdulillah, sehingga kini kita menerima kerjasama baik daripada pihak mereka dan sebaik aduan diterima LZS komited turun padang bagi membantu golongan ini.

“Malah, sumbangan ini juga antara usaha LZS dalam memastikan mereka yang memerlukan tidak tercicir malah sentiasa disantuni,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Ziarah Agensi Lembaga Zakat Selangor bersama Tenaga Nasional Berhad cawangan Cheras di daerah Hulu Langat, di sini, hari ini.

Mohd Aqmal berkata, aktiviti rutin turun padang itu bertujuan menyelami kelangsungan hidup asnaf selain melihat keperluan lain yang layak disantuni LZS.

“Aktiviti ziarah asnaf, fakir, miskin ini juga memberi ruang untuk LZS beramah mesra dan mendekati golongan ini selain mendapatkan maklum balas secara terus berkenaan keberkesanan agihan zakat yang dilaksanakan di Selangor,” katanya.

Katanya, LZS akan memberi bantuan dari segi kewangan, makanan, pendidikan, sewa rumah dan membantu dalam soal pembangunan pendidikan.

Pada masa sama, beliau berkata, kerjasama masyarakat yang mempunyai maklumat mana-mana individu yang memerlukan bantuan diminta terus melaporkan ke cawangan LZS berhampiran.

“Tunailah zakat di Lembaga Zakat Selangor, saya yakin zakat anda akan disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak dan memerlukan,” katanya.


Kemaskini pada 2019-11-21 15:25:18 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page