Reset Setting Change contrast to brightChange contrast to originalChange contrast to darkChange to thin layoutChange to default layoutChange to wide layoutChange font size to lower sizeChange font size to original sizeChange font size to large size
T
T
T
T
T
T
Portal Rasmi
KERAJAAN NEGERI SELANGOR
 

Sultan Selangor lancar buku : My First Year Journey

berita

SHAH ALAM, 16 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melancarkan buku perjalanan hidup DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin hari ini.

Baginda melancarkan naskhah berjudul “Perjalanan Tahun Pertama Saya Dari Penyampai Berita TV ke Tengku Permaisuri Selangor” (My First Year Journey, from TV News Anchor to Tengku Permaisuri Selangor) di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam, di sini.

Mengiringi baginda, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Hadir sama Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Tengku Permaisuri bertitah, naskhah itu mengisahkan pengalaman baginda mengenali protokol istana seperti adat istiadat, bahasa istana serta susur galur sejarah Kesultanan Selangor.

“Beta amat terharu dan berbesar hati dengan sokongan serta input diberikan DYMM Tuanku Sultan, khususnya membabitkan hal-hal berkaitan adat istiadat istana.

“Beta amat berbesar hati dan teruja dengan penerbitan naskhah ini walaupun pada masa sama perasaan beta bercampur-baur, apatah lagi beta seorang yang tidak gemar untuk berkongsi kisah kehidupan dan peribadi beta sejak dahulu lagi,” titah baginda.

Tengku Permaisuri Norashikin bergambar bersama bukunya di Majlis Pelancaran Buku Perjalanan Tahun Pertama Saya, dari penyampai berita TV ke Tengku Permaisuri Selangor” (My First Year Journey, from TV News Anchor to Tengku Permaisuri Selangor An Anecdotal Experience) di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
Baginda bertitah, penerbitan buku yang mengambil masa hampir tiga tahun itu ditulis oleh kakak baginda, Datin Dr Norely Abdul Rahman.

“Buku ini mengambil masa lama untuk disiapkan kerana setiap kali ditanya oleh penulis iaitu kakak beta sendiri, beta seringkali menangguhkan permintaan beliau itu.

“Oleh sebab beta juga seorang yang teliti, jadi beta mahu setiap penceritaan itu ditulis secara terperinci tanpa ditokok tambah dan berdasarkan peristiwa-peristiwa yang benar-benar berlaku,” titah baginda.

Buku kulit keras berkenaan turut memaparkan pengalaman peribadi serta koleksi gambar eksklusif yang belum pernah disiarkan di media.

Ia diterbitkan khas untuk tatapan pembaca yang ingin mengenali Tengku Permaisuri Selangor.

(Selangorkini)


Kemaskini pada 2019-12-17 11:05:14 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page