Tetapan Semula Menukar kontras kepada cerahMenukar kontras kepada asalMenukar kontras kepada gelapKecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
    T
    T
    T
logo-jatalogo-suk

Portal Rasmi

KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Bahasa | English

Barisan Exco Bukti Selangor Dahului Pemberdayaan Wanita

SHAH ALAM, 2 JUN : Misi pemberdayaan wanita di Malaysia jelas terpancar dalam pimpinan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor menerusi pelantikan lebih 40 peratus wanita untuk menerajui barisan Exco dan Speaker buat julung kalinya.

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail berkata, agenda pemberdayaan wanita mula diterjemahkan PR sebaik sahaja gabungan itu berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan negeri daripada Umno-BN pada tahun 2008.

Katanya, pemilihan wanita dalam kepimpinan negeri bakal memberi kesinambungan mantap dalam usaha memastikan misi pemberdayaan itu diberi lonjakan sewajarnya ke arah meningkatkan kualiti kehidupan wanita khususnya di Selangor.

"Saya dan rakan-rakan sepasukan mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan ini.

"Ia adalah hadiah kepada wanita Malaysia kerana amalan menghormati wanita benar-benar dapat dilihat menerusi kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor," katanya dalam satu kenyataan media.

Katanya, misi pemberdayaan wanita Malaysia juga diteruskan menerusi mekanisme yang diluluskan Kerajaan Negeri, antaranya Pusat Wanita Berdaya (PWB) di mana pemberdayaan dalam bidang politik dan membuat keputusan menjadi agenda utama.

Tambahnya, usaha itu turut dipelbagaikan termasuk melantik wanita sebagai ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan ketua kampung yang menjadi medan bagi golongan itu ke peringkat yang lebih tinggi.

"Selain kriteria merit, laluan diberi juga di atas dasar memenuhi kuota walaupun individu wanita terpilih tidak pernah sebelum ini memegang jawatan yang ditawarkan.

"Ia adalah medan latihan yang paling praktikal dalam membina ilmu dan kemahiran terutama proses membuat keputusan yang melibatkan kemahiran berinteraksi dengan masyarakat serta pengetahuan mengenai sistem pentadbiran di pelbagai peringkat dalam pentadbiran negeri, peraturan dan undang-undang serta dokumentasi yang sempurna," katanya lagi.

Barisan Exco Selangor yang dilantik baru-baru ini menampilkan empat muka baru selain mengekalkan enam muka lama untuk melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat.

Ironinya, anggota Exco Negeri yang diwakili PKR ketiga-tiganya adalah wanita iaitu Rodziah Ismail, Elizabeth Wong (Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar) dan Dr Daroyah Alwi (Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains Teknologi dan Inovasi).


Kemaskini pada 0000-00-00 00:00:00 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page