HULU KELANG, 23 FEB: Rakyat Selangor menyambut baik usaha Kerajaan Negeri memperkenalkan projek Rumah Selangorku yang menjadi perintis ke arah perlaksanaan misi ‘Satu Keluarga, Satu Kediaman’ bagi memenuhi impian golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

Rata-rata mereka yang ditemui mengakui kesukaran untuk memiliki rumah pertama disebabkan harga pasaran yang tinggi ditambah dengan skala pendapatan bulanan yang kecil.
Bagi Mohd Robaai Mustajam, 49, peluang rumah mampu milik sebegini diharapkan dapat memberikan sinar baru kepada rakyat untuk memiliki rumah sendiri terutama mereka yang disenarai hitam oleh bank akibat bebanan hutang.

“Saya tengok, Alhamdulillah projek ini bagus. Apa yang MB sebutkan menggalakkan teutama untuk rakyat yang tidak ada rumah sebab ramai kawan-kawan yang tidak ada rumah di Selangor terutama di Lembah Klang.
“Walaupun ada pendapatan, tapi mereka tiada peluang kerana bank tidak memberikan kerjasama untuk beri pinjaman.
“Hanya boleh duduk di rumah sewa lebih 20 tahun. Dulu buat pinjaman sebab perniagaan. Dengan apa yang sebutkan ada harapan untuk kemampuan, kemampuan untuk membuat pinjaman,” katanya.

Idham Hafiz Haslan, 29, yang baru mendirikan rumah tangga dan memilik seorang anak melihat keprihatinan kerajaan dengan menampilkan inisiatif sebegini wajar disokong kerana sudah menjadi tanggungjawab kerajaan membantu rakyat yang memerlukan.
“Projek ini baik untuk rakyat selangor sebab sekarang ini kita tahu nak cari rumah pun susah. Kalau kerajaan bantu dengan pembinaan rumah kos rendah itu adalah sesuatu yang baik,” katanya yang kini masih tinggal bersama ibu bapa di Hulu Kelang dan bekerja sebagai ‘Freelancer’ teknologi maklumat.
Sementara itu, Hashim Ismail, 36, pula berpandangan harga yang ditawarkan Kerajaan Negeri dilihat lebih murah berbanding dengan pasaran semasa dan sesuai dengan kemampuan rakyat untuk memilikinya.
Sumber: www.selangorku.com
Sumber: www.selangorku.com
Kemaskini pada 2014-03-24 09:13:37 daripada Administrator