SHAH ALAM, 12 DIS: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan pasukan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali bekerja lebih kuat untuk kemajuan negeri dan rakyat.
Dalam satu temubual bersama akhbar The Star, Baginda Sultan berkata bahawa baginda sudah muak dengan karenah kemelut politik dan mahu melihat ‘hasil’ mulai sekarang.

Baginda juga mengingatkan pimpinan negeri untuk mengelak kenyataan atau keputusan populis untuk berlagak hero rakyat.
“Beta mahu Mohamed Azmin bekerja untuk rakyat.
“Rancang baik-baik untuk jangka masa panjang, pilih orang yang betul untuk jayakan perancangan dan tinggalkan legasi pembangunan yang bermanfaat untuk rakyat dan generasi akan datang,” katanya dipetik temubual sempena keputeraan yang ke-69 semalam.
Baginda juga meluahkan rasa kesal dan kecewa dengan isu Menteri Besar yang berlanjutan berbulan-bulan hasil rancangan Langkah Kajang.
Titahnya, isu berkenaan lebih bersifat pentingkan diri dan memberi kesan kepada kelancaran pentadbiran Kerajaan Negeri dan rakyat khususnya.
Menyentuh isu keharmonian kaum, Baginda Sultan mengingatkan kenyataan dan tindakan tidak bertanggungjawab memecah belah rakyat berbilang bangsa dan agama pelu dihentikan.
“Beta sudah titahkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor kita mesti hormat perkara itu.
“Contohnya, tindakan mengharamkan Bible semata-mata itu salah dan cadangan untuk bakar kitab itu juga tidak betul,” katanya.
Bagaimanapun, Baginda Sultan memberitahu di bawah undang-undang negeri, adalah menjadi kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan Allah dalam Bible, sama ada secara cetak atau edaran di dalam Selangor.
Sumber : www.selangorku.com
Kemaskini pada 2014-12-12 16:32:58 daripada Administrator