SHAH ALAM, 23 FEB: Nyamuk aedes masih boleh membiak dan virus denggi lebih aktif dalam cuaca panas kata Exco Kesihatan, Dr Daroyah Alwi.
Justeru, orang ramai dinasihatkan menjaga kawasan kediaman masing-masing dengan meningkatkan usaha mencari dan musnah kawasan berisiko menjadi tempat pembiakan jentik-jentik.

“Cuaca panas merangsang pembiakan nyamuk (aedes) dan replikasi virus dalam nyamuk (denggi).
“Peranan masyarakat diperlukan, bersihkan kawasan berpotensi pembiakan jentik-jentik,” katanya kepada Selangor Kini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas Fenomena Ekuinoks yang bakal melanda negara minggu depan yang menyebabkan perubahan cuaca yang lebih panas ekoran kedudukan matahari berada tepat di atas garisan khatulistiwa.
Fenomena cuaca panas ini menjurus kepada peningkatan suhu antara satu hingga dua darjah Celcius.
Suhu di Malaysia ketika ini ialah sekitar 33 hingga 35 darjah Celcius.
“Sekirannya Selangor hadapi catuan air ekoran musim kering ini sehingga kita terpaksa menyimpan bekalan air, pastikan ia disimpan dengan selamat, bertutup untuk elak ia jadi tempat pembiakan jentik-jentik,” katanya.
Kemaskini pada 2015-02-25 09:35:39 daripada Administrator