PETRA JAYA, 2 MAC : Nasi talam ikan tongkol Sarawak berjaya menambat selera Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, malam tadi yang dianggapnya hidangan unik dan istimewa rakyat Sarawak.
Singgah sebentar menunaikan solat Isyak sebelum meneruskan tentatif programnya dalam siri kunjungan delegasi Selangor ke Sarawak, Mohamed Azmin disaji dengan menu yang lazat itu yang kebetulan berlangsungnya majlis tahlil.

Menu terhidang di atas talam yang sarat dengan nasi, potongan ikan talam dengan isi lembut dibanjiri limpahan kuah kari itu diakui Mohamed Azmin memiliki keunikan rasa yang tersendiri.
“Pada mulanya saya bercadang untuk menjamah atas jemputan jemaah yang terperasan kehadiran saya dalam masjid. Langkah kanan, rezeki saya untuk rasa keunikan masakan Sarawak.
“Orang Sarawak bukan sahaja baik hati dan peramah, malah masakan mereka juga lazat,” katanya kepada Selangor kini.

Beliau yang tidak kekok duduk bersila dan makan berkongsi talam dengan jemaah mengambil kesempatan bertanya khabar dan mendengar cerita mereka.
Sementara, jemaah yang hadir tidak melepaskan peluang bersalam dan bergambar dengan Mohamed Azmin.
Kemaskini pada 2015-03-09 08:35:29 daripada Administrator