PETALING JAYA, 4 MAC: Pelbagai langkah perlu diambil Kerajaan Negeri termasuk mengadakan kempen penjimatan air memastikan bekalan mencukupi ketika musim panas dan kering.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, berkata tindakan tegas terhadap kilang yang mencemarkan sumber air perlu diperhebatkan termasuk pemantauan berterusan memastikan sungai tidak tercemar.

“Pastikan kilang-kilang tidak mengeluarkan bahan-bahan racun ke dalam sungai bagi memastikan sungai kita tidak tercemar.
“Kerajaan Negeri juga perlu membuat persediaan untuk meningkatkan takungan empangan.
“Kempen jimatkan air juga perlu dijalankan supaya penduduk tidak menggunakan air berlebihan lebih lagi ketika waktu puncak,” katanya ketika ditemui Selangorkini.
Tony Pua berkata langkah alternatif perlu diambil segera bagi mengelakkan catuan air tidak berlaku seperti sebelum ini.
“Sekiranya musim panas berlarutan kita khuatir empangan dan kolam takungan air berada di paras kritikal.
“Jadi sebagai kerajaan bertanggungjawab, kerajaan negeri perlu fikirkan langkah alternatif dengan segera,” katanya.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri memberikan jaminan tidak akan ada catuan air pada musim panas ketika ini.
Katanya, mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) akan diadakan bagi membincangkan langkah alternatif menghadapinya.
Kemaskini pada 2015-03-09 08:39:32 daripada Administrator