Tetapan Semula Menukar kontras kepada cerahMenukar kontras kepada asalMenukar kontras kepada gelapKecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
    T
    T
    T
logo-jatalogo-suk

Portal Rasmi

KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Bahasa | English

Peruntukan RM2 juta bentuk generasi tahfiz Al-Quran

SHAH ALAM, 18 MAC : Mengambil berat sektor pendidikan tinggi agama di Selangor, sejumlah RM2 juta diluluskan bagi membiayai pengajian tahfiz Al-Quran sebagai usaha melahirkan generasi Islam yang berkualiti.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata Kerajaan Negeri mempunyai gagasan untuk melahirkan generasi Al-Quran di kalangan golongan profesional dan masyarakat awam melalui pendidikan Islam yang syumul dan komprehensif.

Perasmian tilawah peringkat negeri Selangor MB (1)

Katanya langkah itu diyakini mampu melahirkan kegemilangan tamadun Islam pada zaman kontemporari serta mampu menangani cabaran semasa yang dihadapi umat Islam hari ini.

“Pelbagai program dan aktiviti dilaksanakan berorientasikan Al-Quran tanpa terlepas pandang mengenai pembangunan rohani untuk mengimbangi pembangunan material.

“Sejumlah RM2 juta khusus bagi program pendidikan pengajian tahfiz Al-Quran yang ditawarkan melalui Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

“Melalui usaha ini, kita mampu memupuk tradisi keilmuan di kalangan masyarakat dengan berlandaskan sumber Al-Quran,” katanya ketika merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Negeri Selangor di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata majlis tilawah ini dianjurkan sebagai wahana (saluran) untuk menyuburkan dan meningkatkan ilmu qiraat masyarakat terhadap kitab suci Al-Quran.

Katanya dengan meningkatkan iltizam untuk memahami ajaran al-Quran sebagai panduan hidup dalam semua bidang, maka umat Islam tidak akan tersesat, terpesong mahupun terjerumus ke dalam sebarang krisis.

“Sekiranya umat Islam berjaya melaksanakan tuntutan ini, sudah tentu kita akan menjadi umat terunggul dan umat contoh kepada yang lain.

“Justeru itu, mari kita bersama-sama membangunkan Selangor sebegai peneraju kepada pembangunan berkualiti, menyebar semangat toleransi dan kesederhanaan serta perangsang kepada ilmu dan pencerahan,” katanya lagi.

EZY

http://bm.selangorku.com/


Kemaskini pada 2015-03-25 10:31:19 daripada Administrator

  •  
  • Print