SHAH ALAM, 11 MEI: Masih ada lagi penjawat awam culas melaksanakan tugas, namun bak kata pepatah sepandai-pandai tupai melompat jatuh ke tanah apabila ‘kantoi’ ditangkap Unit Integriti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) baru-baru ini.
Lebih mengecewakan apabila penjawat awam itu ditangkap semasa leka berhibur di pusat snuker di sekitar Shah Alam semasa waktu pejabat dan berpakaian korporat.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, hasil maklumat orang ramai, Unit Integriti SUK Selangor berjaya ‘menangkap’ beberapa kakitangan kerajaan.
“Penjawat awam berjaya ditangkap, sedang asyik bermain snuker dan minum petang selepas waktu rehat solat Jumaat pada minggu lepas.
“Amat mendukacitakan kerana masih ada penjawat awam yang degil dan tanpa segan-silu bermain snuker dengan berpakaian korporat pada waktu pejabat,” katanya dipetik laman Facebooknya.

Beliau juga memuat naik gambar beberapa penjawat awam itu agar menjadi pengajaran kepada pihak lain.
Mohammed Khusrin berkata, ketua jabatan terbabit perlu mengambil tindakan disiplin tegas ke atas kakitangan terlibat.
“Pandangan buruk daripada orang awam melihat dan menilai tingkah laku penjawat awam ini memalukan kerana mereka seharusnya bekerja meningkatkan mutu perkhidmatan kerajaan,” katanya.
Gambar: Sumber Facebook Datuk Mohammed Khusrin Munawi
http://bm.selangorku.com/category/berita-selangor/
Kemaskini pada 2017-12-22 12:02:57 daripada Administrator