SHAH ALAM, 31 MEI: Pasukan Iriz menewaskan Axia dalam perlawanan akhir bola lepak Sukan Perdana Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) 2015.
Berlangsung di Stadium Shah Alam, pasukan Iriz menang 1-0 hasil jaringan pada minit ke-18.
Axia berpeluang menyamakan kedudukan dua minit kemudian selepas dihadiahkan sepakan penalti, namun berjaya diselamatkan penjaga gol Iriz.
Axia cuba bangkit dan mengatur serangan pada separuh masa kedua namun gagal memecah kebuntuan dan kedudukan kekal sehingga tamat perlawanan.

Axia sebelum itu memenangi lapan daripada 12 acara keseluruhan yang dipertandingkan.
Temasya sukan perdana itu dianjurkan dua tahun sekali sejak tahun 2003 membabitkan penglibatan seluruh kakitangan SUK.
Pengerusi Jawatankuasa Kecil Sukan dan Rekreasi SUK Negeri Selangor, Mohd Faizal Mohamed Said berkata, temasya edisi ke-6 itu bermula pada 8 hingga 29 Mei lalu.
Katanya, sebanyak 12 acara dipertandingkan antaranya congkak, ping pong, futsal, bola jaring, sepak takraw, bola tampar, bowling, badminton, tarik tali dan berakhir dengan perlawanan bola sepak.
“Ia diadakan sebagai usaha memupuk potensi diri dan persiapan memilih atlet untuk Temasya Sukan SUK se-Malaysia yang akan diadakan di Johor, pada tahun 2016,” katanya.
Penganjuran itu menyaksikan penyertaan 436 atlet yang mewakili unit sayap pengurusan dan pentadbiran SUK yang dibahagi kepada dua pasukan iaitu Iriz dan Axia.
Selaku juara keseluruhan, Axia membawa pulang wang tunai berjumlah RM28,340 dan piala pusingan serta sijil, manakala Iriz pula memenangi RM10,900 juga sijil.
Sumber : www.selangorku.com
Kemaskini pada 2015-06-01 08:29:39 daripada Administrator