SHAH ALAM, 5 JUN: Pemberian projek dan tender di pihak berkuasa tempatan perlu dipertingkatkan ketelusan dan integritinya agar tiada istilah pemberian tender untuk kroni.
Ahli Majlis Sepang (MPSepang), Dr Teo Lian Seng berkata, isu itu perlu dibendung bagi memastikan projek dilaksanakan menepati piawaian ditetapkan dan sempurna.

“Ahli majlis memberi beberapa pilihan tender, tetapi kontraktor yang sama dipilih, dengan sebut harga sama.
“Perkara ini perlu diubah dan diteliti lebih terperinci, jangan hanya memberi kepada kroni dan hasil kerja tidak ada peningkatan,” katanya kepada Selangor Kini.
Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Suriase A/L Gengiah, berkata masih banyak yang perlu diperbaiki di pihak berkuasa tempatan dari sudut perkhidmatan, audit, urus kerja dan gejala rasuah.

“PBT dan ahli majlis perlu memupuk semangat perpaduan dan memberi contoh yang baik kerana kita berurusan dengan masyarakat setempat.
“Selain itu, kita perlu ada kefahaman mengenai pengamalan etika dan integriti yang betul supaya integriti menjadi satu budaya dalam kehidupan rakyat Malaysia,” katanya.
Timbalan Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Ahmad fadzli Ahmad Tajuddin berkata, jika seseorang pemimpin menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, keluarga dan kaum kerabat maka ia dikategori sebagai pemimpin tidak berintegriti.
“Rakyat mempunyai hak untuk menuntut dari kerajaan, kerana pemimpin dan kakitangan kerajaan menerima gaji dari cukai yang dibayar rakyat.
“Wajarlah, pemimpin dan penjawat awam menunaikan tanggungjawab secara efektif dan efisyen,” katanya.
http://bm.selangorku.com/category/berita-selangor
Kemaskini pada 2015-06-11 08:06:25 daripada Administrator