Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

22 Januari 2014 : Sinar Harian : Penganggur didenda RM3,000

SABAK BERNAM – Seorang penganggur didenda sebanyak RM3,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Besar atas kesalahan mencuri besi pada 14 Januari lalu.

Tertuduh, Ghazali Ibrahim, 32, dalam rayuannya memohon supaya mahkamah mengurangkan hukuman memandangkan dia mempunyai dua orang anak yang masih kecil dan isteri yang hanya mendapatkan pendapatan dengan menjual kuih.

“Saya terdesak melakukan perbuatan ini kerana tidak bekerja dan hanya bergantung harap kepada isteri untuk menanggung perbelanjaan kami sekeluarga di rumah selain insaf dengan perbuatan yang telah saya lakukan,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Izza Munira Mansor meminta mahkamah agar mengenakan hukuman yang sewajarnya memandangkan tertuduh sebelum ini memiliki rekod lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan Langkah-langkah Pencegahan Khas.

Majistret Shah Wira Abdul Halim yang mendengar rayuan tertuduh dan pihak pendakwaan kemudiannya menasihati tertuduh supaya tidak melakukan kesalahan yang sama kerana ia dianggap sebagai satu kesalahan serius.

“Ingatlah sebagai bapa, kamu bertanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak serta jangan hancurkan masa depan mereka disebabkan perangai kamu yang tidak pernah serik melakukan kesalahan jenayah,” katanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 4 pagi pada tarikh terbabit di dalam sebuah tapak projek pembinaan Syarikat Bin Dawood Properties Sdn Bhd di Sungai Besar.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mencuri besi binaan seberat satu tan milik syarikat terbabit.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya, tertuduh boleh dikenakan penjara dan dikenakan denda atau sebat.

Kemaskini pada 2014-01-22 11:18:48 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page