Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

22 Januari 2014 : Sinar Harian : Isu babi: 'Bukan nak tunjuk hero'

TANJUNG SEPAT - “Bukan hendak tunjuk hero, tetapi mahu membawa masalah penduduk sejak 50 tahun yang berhadapan bau busuk disebabkan air parit dan longkang  menyalurkan sisa kumbahan dari ladang dipercayai akibat najis babi berwarna hitam pekat dan likat,” demikian kata Pengerusi Komuniti Penduduk Tanjung Sepat, Noor Azli Said.

Menurutnya, tindakan pengusaha tidak menguruskan sistem ladang dengan baik menyebabkan air laut terletak berhampiran beberapa ladang terbabit tercemar teruk.

“Saya sendiri turun ke lokasi melawat sekitar kawasan itu, ternyata pencemaran alam sekitar serius berlaku di beberapa kawasan sungai dari arah Batu Laut ke Tanjung Sepat.

“Jika tidak diatasi akan memberi kesan pada masa depan, selain boleh memudaratkan kesihatan penduduk,” katanya kepada Sinar Harian.
Azli berkata, penduduk yang ditemui turut mahu masalah berlarutan itu diberi perhatian terutama isu pengusaha yang menyalurkan sisa kumbahan secara tidak terurus ke parit, sungai dan laut.

Katanya, pengusaha ladang yang terdapat di kawasan itu dipercayai tidak menyediakan kolam menempatkan sisa kumbahan, sebaliknya menyalurkannya ke parit, namun sebahagian besar hanya gimik perniagaan.

“Bagaimanapun, jika tidak pun perbaiki cara menguruskan sisa kumbahan mereka dan bukannya sewenang-wenangnya melepaskan bahan itu ke aliran air di kawasan kampung,” katanya.

Risau jejas kesihatan

Kebanyakan penduduk ditemui menyifatkan isu kumbahan sisa itu masih belum menemui jalan penyelesaian.

Bagi Mohd Ridhzuan Tamsir, 36, sebelum ini terdapat sekumpulan pemimpin dan wakil penduduk berpeluang ke Jerman melihat teknologi menguruskan ternakan babi namun keadaan itu tidak dapat dibawa ke Malaysia atas beberapa faktor.

Katanya,  wabak Japanese Encephalitis (JE) tidak mustahil akan berulang kembali sekiranya tiada tindakan pencegahan diambil.

Bagi Abdul Aziz Abdullah, 53, berkata, sistem pengurusan ladang babi di sini dikenal pasti paling teruk berbanding di tempat lain sehingga menyebabkan pencemaran alam sekitar serius.

Katanya, seharusnya semua ladang terletak di bawah kerajaan negeri atau yang menguruskan ternakan itu perlu  mematuhi peraturan dan sistem pengurusan ladang yang baik.

“Namun selepas perubahan kerajaan berlaku sejak tahun 2008 tiada perubahan yang berlaku walaupun masalah ini sudah berlanjutan sejak sekian lama.

“Sebagai penduduk dan memegang jawatan Presiden Perahu Layar, mahukan masalah sisa kumbahan yang disalurkan ke laut dapat dihentikan atau dilakukan dengan cara lain bagi mengelakkan atlet perahu layar dari dalam dan luar negara yang menyertai beberapa kejohanan di Pantai Batu Laut tidak menceritakan masalah itu kepada keluarga dan kenalan mereka,” katanya.

Berhenti niaga belacan

Siapa sangka hidup seorang pembuat belacan meraih pendapatan mencecah RM1,000 sebulan kini terpaksa dihentikan berikutan keadaan air kotor akibat sisa kumbahan najis babi.

Rozaniah Md Yasin, 47, ketika ditemui berkata, dia terpaksa menghentikan perniagaan itu sejak 10 tahun lalu kerana tidak sanggup meredah air laut untuk mendapatkan udang geragau di kawasan yang sudah dicemari.

Katanya, bayangkan apabila selut sudah mencecah paras lutut dengan pelbagai bau dan kekotoran yang tidak dapat ditahan, bagaimana dia mahu meneruskan kerjaya itu untuk diwarisi anak.

“Saya sendiri tak tahan, dan cakap dengan suami suami terpaksa mencari rezeki lain.

“Namun, saya harap masalah bau dan pembuangan tersebut dapat diatasi segera supaya tidak lagi berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Tumbok Darat, Tarmudi Tushiran berkata, pihaknya mewakili penduduk berharap masalah bau dan pencemaran yang disebabkan kesan sisa kumbahan dipantau.

Katanya, penduduk bukan mahu pengusaha ternakan babi itu berpindah segera tetapi cukup sekadar mengawal bau dan pembuangan sisa secara tidak terkawal.

“Saya sendiri sudah mengikuti lawatan ke Jerman melihat sendiri sistem kelompok ternakan kinzir yang dilakukan di sana, namun percaya keadaan itu tidak mustahil dapat diwujudkan di sini namun apalah salahnya pemantauan berkala diteruskan supaya tidak menjadi rungutan semua pihak.

“Saya sendiri hairan pengusaha ternakan babi seolah-olah berjaya menternak kira-kira lebih 300,000 ekor di beberapa kandang namun tiadapun tindakan dilakukan,” katanya.

Pemantauan secara berkala

Sementara itu, Pegawai Tanah dan Daerah Kuala Langat, Rosli Othman berkata, tidak dinafikan masalah ternakan babi yang menyebabkan bau busuk di kawasan berkenaan menjadi rungutan penduduk.

Katanya, masalah itu bukan baru, namun pihaknya bersama beberapa jabatan terlibat sentiasa memantau secara berkala bagi memastikan masalah tersebut tidak timbul.

“Namun melalui pemeriksaan rekod, kita mendapati terdapat 128 kandang yang berdaftar melalui Jabatan Veterinar yang menternak babi beroperasi di beberapa mukim termasuk Mukim Batu, Mukim Tanjung 12 dan beberapa kawasan di Tanjung Layang, Kampung Tumbok dan Tanjung Sepat.

“Bagaimanapun, kita sendiri akan memanggil semua jabatan terlibat untuk duduk berbincang menangani masalah ini supaya tidak berlaku kekeliruan dalam masyarakat,” katanya.

Bagi Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, pihaknya tidak mengeluarkan lesen seperti didakwa penduduk.

Bagaimanapun katanya, pihaknya meningkatkan pemantauan terhadap kawasan di bawah kawalan MDKL.

“Sehingga hari ini, sekiranya terdapat aduan kita akan memanjangkan perkara  itu kepada pihak yang terlibat untuk diambil tindakan,” katanya.

Kemaskini pada 2014-01-22 11:19:59 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page