Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

06 Februari 14 : Sinar Harian : Azan buka hati Siti Aishah

SUNGAI BESAR – Keindahan laungan azan berjaya membuka hati seorang saudara baharu berketurunan India untuk memeluk Islam dan seterusnya mendalami agama itu dengan lebih mendalam.

Siti Aishah Abdullah, 41, berkata, dia mendengar azan setiap hari kerana tinggal di kawasan komuniti Melayu dan keadaan itu membuatkan pintu hatinya terbuka memeluk Islam.

Menurutnya, semakin kerap dia mendengar azan, hatinya meronta-ronta mahu memeluk Islam dan teringin menjejakkan kaki ke surau berhampiran rumahnya di Sekinchan.

“Saya dapat rasakan getaran dalam hati setiap kali dengar azan berkumandang berhampiran rumah. Perasaan itu sukar digambarkan dengan kata-kata kerana ia terlalu indah,” katanya.

Siti Aishah berkata, selain keindahan azan, dia tertarik dengan agama Islam kerana amat menitikberatkan soal aurat lelaki dan perempuan selain kewajipan solat lima waktu dan berpuasa.

“Pengalaman terindah saya sebagai muslim, apabila saya dapat solat berjemaah, berpuasa dan tarawih selain mempunyai keinginan untuk menjejak kaki ke tanah suci Mekah,” katanya.

Menurutnya, dia mula tertarik dengan Islam sejak usianya lapan tahun, tetapi hasratnya itu dihalang ibunya, tetapi cintanya kepada agama itu tidak pernah pudar hingga tekad memeluk agama suci itu ketika usianya 31 tahun.

“Ibu mengetahui hasrat saya untuk memeluk Islam sejak kecil lagi, tetapi saya berazam untuk membuktikan kepadanya (ibu) bahawa Islam adalah agama terbaik hingga memaksanya menerima keputusan saya sebelum dia meninggal dunia.

“Akhirnya ibu akur dengan kemahuan saya dan di akhir hayatnya ibu berpesan supaya saya dapat menghayati agama ini dengan baik dan mengikut ajaran yang disyariatkan Islam kepada setiap penganutnya,” katanya.

Malah Siti Aishah berkata, keputusannya memeluk Islam selepas berkahwin adalah dugaan terbesar dalam hidupnya apabila terpaksa berpisah dengan bekas suami yang mengamalkan ajaran agama lain meskipun sudah mempunyai tiga cahaya mata.

“Kami tak boleh tinggal sebumbung kerana dia tidak Islam, jadi kami bawa haluan masing-masing dan saya difahamkan dia juga akhirnya memeluk Islam, tapi saya tak tahu sejauh mana kebenarannya,” katanya.

Kemaskini pada 2014-02-06 14:48:11 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page