Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

01 Julai 2014 : Melecur muka disambar api

SUNGAI BESAR – Seorang ibu tunggal melecur bahagian muka, cedera di tangan dan di kaki selepas rumah arwah bapanya yang tidak lagi berpenghuni di hadapan rumahnya di Panchang Bedena di sini, terbakar petang Khamis lalu.

Mangsa, Siti Jaliah Syaari, 53, berkata, kejadian kira-kira jam 3 petang itu berlaku sewaktu dia sedang lena tidur di rumah dan tiba-tiba dikejutkan dengan bau asap terbakar dari arah hadapan rumah kayu berkenaan.

Menurutnya, bimbang sesuatu tidak diingini berlaku, dia terus membuka pintu hadapan rumahnya, namun tidak menyangka api sudah menjulang tinggi hingga bahang kebakaran dirasai pada seluruh badannya.

“Kebakaran berlaku waktu angin kuat. Tak sangka apabila makcik berpaling ke kiri nak menjenguk terasa panas pada bahagian pipi kiri. Sebaik makcik toleh ke kanan terasa macam api memercik ke arah muka sebelah kanan,” katanya.

Siti Jaliah berkata, dia yang tidak dapat menahan kesakitan selepas terkena bahang api itu kemudiannya terus melarikan diri mengikut pintu belakang rumah.

“Makcik jerit kesakitan selepas muka, tangan dan kaki terasa pedih. Makcik terus meronta minta tolong jiran-jiran yang masa tu  tengah bertungkus-lumus siram air di rumah tu,” katanya.

Katanya, dia kemudiannya dibawa salah seorang jirannya ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam bagi mendapatkan rawatan dan hanya dibenarkan pulang kira-kira jam 9 malam hari yang sama.

“Doktor beri makcik ubat sapu bagi sembuhkan luka. Doktor pesan pada makcik supaya tenang kerana makcik ada penyakit darah tinggi. Bimbang boleh beri kesan sampingan terhadap masalah kesihatan,” katanya.

Menurut Siti Jaliah, kebiasaannya dia menjaga seorang cucunya di rumah itu, namun kebetulan kanak-kanak itu tiada di rumah memandangkan ibunya tidak bekerja pada hari tersebut.

“Makcik tinggal bersendirian di rumah ni, cuma kadang-kadang makcik jaga seorang cucu kalau emaknya kerja. Mujurlah cucu tak ada di rumah waktu kejadian. Bimbang juga, sebab budak kecil kan...” katanya.

Sinar Harian difahamkan dua jentera Bomba dan Penyelamat masing-masing dari Sungai Besar dan Sabak Bernam membantu operasi memadam kebakaran kira-kira jam 3.22 petang selepas menerima maklumat orang awam.


Kemaskini pada 2014-07-02 12:30:22 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page