Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

02 Julai 2014 : Ramadan: Kenaikan harga sudah dijangka

SHAH ALAM – Kenaikan harga barangan di bazar-bazar Ramadan sememangnya sudah dijangka bahkan ia sukar dielak.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, kenaikan pelbagai kos yang perlu ditanggung peniaga menjadi penyumbang  kepada kenaikan harga barangan.

“Pengurangan subsidi yang dilakukan kerajaan telah mendorong kenaikan harga bahan api. Sewa tapak pula semakin mahal. Mereka juga perlu membayar kos penggunaan elektrik yang turut meningkat.

“Jadi peniaga tiada pilihan selain menaikkan harga barangan.  Persaingan yang semakin sengit dengan pertambahan peniaga baharu di bazar Ramadan setiap tahun juga faktor yang perlu diambil kira,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Bagaimanapun bagi Muhammad Sha’ani, peniaga masih bertimbang rasa apabila tidak mengenakan harga keterlaluan kepada pembeli.

“Mereka juga faham bahawa bukan semua rakyat negara ini berkemampuan. Jadi harga yang diletakkan tidaklah terlalu mahal. Perlu diingat mereka juga harus menanggung risiko makanan rosak atau tidak dapat dijual terutama ketika hujan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma’amor Othman berkata, pembeli harus lebih bijaksana dalam membuat pilihan.

“Kita akui kenaikan harga barangan tidak boleh dielakkan. Tetapi pengguna mempunyai banyak pilihan. Berjimat atau membazir? Beli di bazar atau masak sendiri di rumah yang tentunya lebih menjimatkan,” katanya.

Katanya, amalan bertukar juadah antara jiran tetangga, bukan sahaja menjimatkan tetapi mengeratkan silaturahim sesama insan.

Beliau turut bersetuju bahawa kenaikan pelbagai kos mendorong peningkatan harga barangan tetap tidak dapat dielakkan.

“Peniaga diingatkan agar tidak meletakkan harga sesuka hati dan pengguna harus tahu bagaimana untuk berjimat,” katanya.

Kemaskini pada 2014-07-02 12:32:02 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page