Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

02 Julai 2014 : ‘Ini dosa, bertaubatlah'

Sebahagian jemaah umrah daripada Sabak Bernam membuat laporan polis di IPD Sabak Bernam berhubung
kekecewaan mereka setelah ditipu agensi umrah terbabit.

SABAK BERNAM – Hasrat kira-kira 104 kumpulan jemaah umrah dari Sabak Bernam untuk menunaikan ibadah itu tidak kesampaian selepas pengusaha agensi pakej umrah yang menawarkan harga serendah RM1,700 seorang didakwa menipu jemaah terbabit.

Rata-rata jemaah yang berdaftar dengan agensi itu sejak 26 Februari 2012 kesal dan kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab agensi berkenaan yang sehingga kini berterusan memberi janji palsu kepada peserta terlibat.

Seorang mangsa, Mohd Tilal Fitri Abdul Rani, 47, berkata, dia yang bertindak sebagai ketua kumpulan jemaah umrah dari Sabak Bernam mengalami kerugian hampir RM15,000 selepas ditipu agensi terbabit.

“Seramai enam ahli keluarga saya ditipu apabila dijanjikan penebangan pertama umrah pada 24 Mac 2013 dan kali terakhir Februari lalu, tapi hingga kini kami masih belum berangkat ke tanah suci atas beberapa alasan tidak munasabah,” luahnya kesal kepada Sinar Harian.

Mohd Tilal berkata, beberapa alasan diberikan agensi umrah terbabit antaranya kesukaran memperoleh visa dan kehabisan tiket penebangan hingga menyebabkan ada beberapa jemaah terpaksa memperbaharui dokumen perjalanan.

“Kumpulan kami bersama ratusan jemaah lain mengadakan perjumpaan di Masjid Sultan Ibrahim, Kuala Selangor pada 22 Jun lalu untuk menarik diri kerana seolah-olah berasa tertipu dengan tawaran pakej umrah yang dijanjikan.

Katanya, kesal dengan penipuan itu, dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor dan IPD Sabak Bernam berhubung dengan penipuan yang dibuat agensi umrah tidak bertanggungjawab terbabit.

“Kami juga difahamkan, agensi terbabit berjanji ingin membayar wang kami pada 22 Jun lalu, tapi hingga kini agensi terbabit terus hilang tanpa sebarang berita hingga menimbulkan tanda tanya kepada jemaah terlibat,” katanya.

Malah katanya, laporan polis itu dibuat bagi memulihkan namanya yang tercemar berikutan terdapat tohmahan daripada segelintir jemaah yang mendakwa dia terlibat dengan penipuan terbabit.

“Jemaah pun ada datang jumpa dan marah-marah saya, sedangkan saya pun jemaah juga, cuma diberi tanggungjawab untuk berurusan dengan agensi. Tapi selepas bayaran dibuat agensi sukar untuk dihubungi.

“Kes ini bukan berlaku di Sabak Bernam sahaja, malah difahamkan beberapa jemaah lain juga ditipu antaranya di Taiping; Kuala Kangsar; Pulau Pinang; Terengganu dan Melaka,” katanya.

Katanya, kegiatan itu didalangi seorang lelaki yang mendakwa dirinya ‘ustaz’ dan dibantu dua lagi ‘ustaz’ yang bertanggungjawab menguruskan jemaah seperti mengadakan kursus berkaitan umrah.

“Sepanjang tempoh itu sebanyak dua kursus umrah diadakan di dua lokasi berbeza iaitu di sebuah resort di Sabak Bernam dan sebuah hotel di Kuala Selangor,” katanya.

Seorang pesara guru, Ku Ahmad Ku Ibrahim, 57, berkata, wang isterinya sebanyak RM16, 000 lebur selepas mereka yang turut berhasrat membawa tiga anaknya yang berusia lingkungan 16 hingga 26 tahun masih belum memulakan penerbangan.

“Kami sudah memasukkan wang atas nama agensi terbabit ke dalam akaun sebuah bank, tapi kesal apabila masih belum berangkat dan saya terpaksa mengeluarkan wang sebanyak RM20,000 lagi untuk mengikuti pakej umrah dengan agensi lain,” katanya.

Isterinya, Jaimah Syariff, 57, tidak menyangka ditipu agensi umrah tidak bertanggungjawab yang sanggup menggadai maruah agama semata-mata ingin mendapatkan wang dengan cara yang mudah hingga menzalimi umat Islam yang lain.

“Tak sangka pula mereka sanggup menipu. Sampai hati menipu... Ini kerja ibadah, janganlah kerana duit kita lupa soal halal dan haram. Saya harap pihak terbabit insaf atas apa yang mereka lakukan ini. Ini dosa, bertaubatlah,” katanya.

Kemaskini pada 2014-07-02 14:33:53 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page