Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

07 Julai 2014 : Perjalanan terakhir dari kampung

  • Polis mengangkat mayat mangsa sebelum dibawa ke HKKB. Gambar kecil: Mohamad Akmal.Polis mengangkat mayat mangsa sebelum dibawa ke HKKB. Gambar kecil: Mohamad Akmal.
< 1 / 1 >

BUKIT BERUNTUNG - Seorang anggota polis bantuan KLIA maut setelah motosikal ditunggang terbabas menyebabkan mangsa tercampak pada besi pembahagi lebuh raya dalam kemalangan yang berlaku awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu berlaku di Kilometer 431.2 Lebuh Raya Utara Selatan arah Kuala Lumpur selepas susur masuk Plaza Tol Bukit Beruntung.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Shukri Yaacob berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan daripada Pendang, Kedah ke arah Kuala Lumpur.

“Mangsa dipercayai datang dari kampung di Kedah menghala ke Kuala Lumpur. Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa yang menunggang di lorong laju gagal mengawal motosikal lalu terbabas dan terbalik.

“Dipercayai mangsa keletihan dan mengantuk menyebabkan kemalangan itu dan siasatan mendapati mangsa tercampak ke besi penghadang di tengah jalan dan maut di tempat kejadian,” katanya.

Katanya, mangsa dikenali sebagai Mohamad Akmal Mohamad, 23, berasal daripada Kampung Masjid Tokai, Pendang, Kedah.

Menurutnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat dan siasatan lanjut mengenai punca sebenar kejadian masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, kejadian yang berlaku di kawasan berselekoh dan gelap itu disedari pengguna jalan raya apabila menemui mangsa terbaring di lorong paling kanan lebuh raya tiga lorong itu.

Sementara itu, berdasarkan maklumat pengguna jalan raya juga beberapa kenderaan nyaris menggilis mangsa.

Sinar Harian difahamkan, mangsa baru dua bulan bertugas sebagai polis bantuan di KLIA dan pulang bercuti ke kampungnya.

Sinar Harian turut difahamkan, selepas berbuka puasa mangsa menunggang motosikal Yamaha LC berseorangan untuk ke Bukit Mahkota, Bangi.


Kemaskini pada 2014-07-07 11:12:01 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page