• Keadaan kereta dan motosikal setelah terlibat dalam kemalangan itu.Keadaan kereta dan motosikal setelah terlibat dalam kemalangan itu.
< 1 / 1 >

SABAK BERNAM – Seorang pekerja menjual durian maut dalam kemalangan selepas motosikal ditungganginya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di jalan Raja Chulan Sabak Bernam berhampiran Masjid Jamek Sultan Hishamuddin di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, Mohamad Azrul Ritonga Daswir, 20, maut selepas motosikal jenis Yamaha Lagenda ditunggangnya dirempuh kereta Proton Saga Aeroback.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohd berkata, kemalangan itu berlaku apabila  penunggang motosikal dari arah pekan Sabak Bernam dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Haji Awam, Sabak Bernam.

“Kereta Proton Saga Aeroback dari arah bertentangan tidak menyedari kehadiran motosikal itu terus membelok di Simpang Jalan Muzium lalu merempuhnya dari arah bertentangan,” katanya.

Noor Mushar berkata, kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.

“Mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira tiga jam selepas itu. Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan pelbagai kecederaan keseluruhan anggota badan,” katanya.

Sementara itu, pemandu kereta terbabit yang dipercayai dalam perjalanan menunaikan solat Isyak dan terawih di masjid itu mengalami kecederaan pada bahagian lutut dan dihantar ke unit pesakit luar di hospital sama.

Sementara itu, abang mangsa, Mohamad Azlan Ritonga, 25, berkata, dia terkilan dan sedih atas kematian adiknya itu memandangkan telah hampir tiga bulan mereka tidak bertemu kerana dia tinggal berasingan dan bekerja di tempat lain.

“Ibu dan adik-adik beritahu, pada petang hari kejadian arawah ada bawa balik durian.

"Arwah hanya  tersenyum apabila ditanya tentang durian yang dibawanya sebelum keluar semula untuk bantu majikannya jual durian,” katanya.

Sepupu mangsa dari Sungai Besi Kuala Lumpur, Khairul Anuar Mohd Isa, 28, pula berkata, perubahan sikap Mohamad Azrul dapat dirasakan ketika dia mengunjungi keluarga itu minggu lalu.

Katanya, dia tidak menyangka perubahan itu sebagai petanda Mohamad Azrul akan pergi selamanya.

“Sepanjang tiga hari tinggal di rumah keluarga arwah, saya langsung tak berkesempatan berbual dengan dia macam selalu.

"Dia seperti terlalu sibuk dengan urusan di luar. Tapi, bila terserempak dia nampak riang saja selalu tersenyum,” katanya.