• Air sumber pili bomba blok bersebelahan terpaksa diambil untuk menampung keperluan penduduk.Air sumber pili bomba blok bersebelahan terpaksa diambil untuk menampung keperluan penduduk.
< 1 / 2 >

KUALA LUMPUR - Bukan sehari dua, tetapi sudah masuk lebih sepuluh hari 300 keluarga yang menghuni Blok E, PPR Beringin, Jinjang Utara terpaksa menjalani rutin harian tanpa bekalan air yang mencukupi apabila keperluan asas itu terputus sejak 10 Julai lalu.

Lebih malang kira-kira 80 peratus daripada penghuni beragama Islam yang sedang menjalani ibadah puasa dan bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri minggu hadapan.

Notis makluman yang ditampal pada 10 Julai lalu asalnya menyatakan gangguan bekalan air hanya untuk tempoh satu hari, namun berlarutan sehingga hari ini membuatkan penduduk berdepan situasi sukar.

Suri rumah, Sarimah Mohd Nor, 48, berkata, dia tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa mengangkut air dari bawah ke unit rumahnya di tingkat 4.

Katanya, kira-kira lima kali sehari mereka sekeluarga terpaksa berulang mengambil bekalan air kerana tidak mencukupi untuk kegunaan harian.

“Kami duduk empat beranak, walaupun tak ramai tapi sumber air amat perlu. Sakit-sakit satu badan kerana angkut air. Daripada tak ada penyakit, dapat penyakit,” katanya kepada Sinar Harian.

Bekalan dua kali sehari tidak cukup 

Sementara itu, pemandu lori, Azmi Omar, 46, pula berkata, dia bergilir-gilir dengan isteri dan anak-anak untuk mengangkut air.

“Sebelum sahur dan selepas sahur saya ambil air, kemudian apabila saya pergi kerja, isteri pula ganti. “Banyak keperluan nak guna air, cuci baju sekolah anak-anak, memasak. Jadi harap sangat hal ini selesai sebelum raya. Apabila raya tak ada air, lagilah susah,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi yang ditemui Sinar Harian, Ammu, 34, berkata, dia datang ke rumah ibunya sejak seminggu lalu untuk tolong mengangkut air.

“Kesian ibu saya sudah tua dan tak larat angkut air. Saya datang bersama anak untuk bantu,” katanya.

Pekerja swasta, Nurul Iliayana Ramli, 22, berkata, sebelum ini aduan telah dibuat beberapa kali kepada kontraktor, namun mereka menerima jawapan yang mengecewakan kerana tiada sebarang harapan diberi sama ada bekalan air akan kembali pulih.

“Mula-mula ada juga bekalan air pada waktu siang dan tiada pada waktu malam. Tetapi sudah lama air tiada langsung. Apabila tanya pada kontraktor, mereka kata tangki masih belum boleh dibaiki.

“Bantuan bekalan air yang dihantar dua kali sehari tidak cukup menampung ribuan penghuni di sini setiap hari,” katanya.

Gesa DBKL selesaikan 

Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam, Wilson Lau Hoi Keong, dalam pada itu menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar menyelesaikan segera masalah berkenaan.

Katanya, dia menerima aduan sejak Jumaat lalu dan datang untuk melihat sendiri kesukaran yang dihadapi penduduk.

“Pada saya tiada alasan untuk masalah ini berlarutan kerana DBKL mempunyai peruntukan khas untuk penyelenggaraan. “Jika keadaan ini dibantu dengan bantuan air yang mencukupi, tidak mengapa. Tetapi penduduk terpaksa ambil dari sumber air blok bersebelahan,” katanya.

DBKL buat pembaikan segera 

Sementara itu, jurucakap DBKL, ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya sudah maklum akan hal berkenaan dan telah mengarahkan agar pembaikan sementara disegerakan setelah langkah awal yang dibuat 10 Julai lalu tidak dapat diselesaikan dan memerlukan tindakan selanjutnya.

Katanya, tangki air blok berkenaan berdepan masalah yang memerlukan penukaran dan agak mengambil masa untuk diselesaikan. “Tetapi kita akan laksanakan pembaikan menyeluruh selepas raya, dan untuk membolehkan bekalan air disalurkan
kembali ke setiap unit selewat- lewatnya pada Selasa, pembaikan sementara akan disegerakan.

“Dalam sama sama kita akan gandakan bantuan bekalan air kepada penduduk, termasuk meminta bantuan daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas),” katanya.