Suee Lim meluangkan masa menziarahi sambil menghulur bantuan kepada penduduk di Dun Sekinchan.
SABAK BERNAM – Pesakit kronik, warga emas dan penduduk miskin di Dun Sekinchan diminta supaya berurusan dengan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) masing-masing bagi memohon sebarang bantuan.
Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, mereka yang layak tidak seharusnya malu untuk berjumpa dengan pengerusi JKKK yang dilantik kerajaan negeri bagi mengenal pasti mana-mana penduduk susah untuk diberi bantuan.
Menurutnya, kerajaan negeri akan sedaya-upaya membantu mereka yang kurang bernasib baik agar mereka diberi perhatian atau bantuan sewajarnya bagi memastikan tiada di antara mereka yang tersisih daripada menikmati sebarang bantuan.
“Kita minta supaya pengerusi JKKK dapat mengenal pasti mana-mana mereka yang layak agar tidak disisihkan supaya keperluan mereka dapat dibantu walaupun sedikit tetapi sekurang-kurangnya dapat meringankan keperluan harian,” katanya kepada Sinar Harian.
Suee Lim berkata, beliau sendiri turut melakukan kunjungan dari rumah ke rumah penduduk di Dun itu tanpa mengira fahaman politik bagi memastikan rakyat di negeri ini merasai keprihatinan kerajaan negeri.
“Kita bantu siapa sahaja. Kita mahu jadi pemimpin yang adil kepada semua masyarakat tanpa mengambil kira fahaman politik; agama dan bangsa, asalkan semua rakyat dapat dibantu,” katanya.
Kemaskini pada 2014-07-25 11:43:17 daripada Administrator