Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

08 Ogos 2014 : Taktik sorok dadah dalam tapak kasut terbongkar

ALOR SETAR - Taktik licik seorang lelaki warga Indonesia menyembunyikan dadah disyaki jenis syabu dalam tapak kasut wanita dan tapak bagasi pakaian gagal apabila ia terbongkar Selasa lalu.

Pengarah Kastam Kedah, Datuk Abd Aziz Abdul Latif berkata, lelaki berusia 32 tahun dari Sumatera Barat itu ditahan ketika melalui Unit Pemeriksaan Penumpang Laluan Bas/Pejalan Kaki, Kompleks Imigresen, Bukit Kayu Hitam kira-kira jam 2.30 petang.

Menurutnya, seorang pegawai kastam hasil mendapati terdapat imej mencurigakan sewaktu membuat imbasan ke atas bagasi yang dibawa duda anak dua itu.

“Pemeriksaan awal di pejabat kastam narkotik Bukit Kayu Hitam terhadap bagasi berwarna coklat menggunakan anjing pengesan dadah didapati ada tindak balas positif terhadap isi kandungannya.

“Lelaki terbabit bersama bagasi serta kandungannya kemudian diiringi ke pejabat kastam narkotik Alor Setar untuk pemeriksaan lanjut,” katanya pada sidang media di Kompleks Pejabat Kastam Kedah, di sini, semalam.

Abd Aziz berkata, semasa pemeriksaan lanjut mereka menemui satu lagi bagasi kecil berwarna hitam di dalamnya.

“Pemeriksaan ke atas kedua bagasi itu menjumpai satu bungkusan bersalut pita pelekat berwarna putih mengandungi hablur kristal putih disyaki syabu pada bahagian dasar setiap bagasi dengan disembunyikan di bawah tapak keras beg itu.

“Kita juga turut menemui empat pasang kasut wanita dalam bagasi hitam dengan bahagian tapak setiap kasut ditemui bungkusan kecil plastik lut sinar yang juga disyaki syabu,” katanya.

Beliau berkata, berat keseluruhan dadah itu kira-kira 3.329 kilogram (kg) dengan nilai dianggarkan RM632,510.

“Sewaktu disoal lelaki itu mendakwa kasut berkenaan mahu dihadiahkan kepada ahli keluarganya,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap rekod perjalanan lelaki itu mendapati kali kedua dia memasuki negara ini selepas kali pertama Julai lalu.

“Dia menaiki pesawat tambang murah dari Medan kemudian transit di Kuala Lumpur seterusnya ke Bangkok. Dari Bangkok menaiki bas ke Hatyai dan kemudian cuba memasuki negara ini. Dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran Kuala Lumpur,” katanya.

Abd Aziz berkata, kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula 6 Ogos sehingga 12 Ogos untuk membantu siasatan,” katanya.

Kemaskini pada 2014-08-08 15:27:55 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page