Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

08 Ogos 2014 : Mais, Jais jangan terlibat agenda parti politik

  • Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris ShahSultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah
< 1 / 1 >

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihatkan semua pihak di Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) supaya mengelakkan diri daripada terlibat dalam agenda politik mana-mana parti.

Baginda mahu kedua-dua institusi agama Islam itu kekal sebagai institusi yang berkecuali dan menumpukan fungsinya dalam memartabatkan agama Islam di Selangor.

"Pada masa sekarang, terdapat segelintir ahli politik yang mahu mengambil kesempatan untuk mempergunakan isu berkaitan agama Islam dan mempersoalkan tindakan institusi agama Islam seperti Mais dan Jais sebagai agenda politik mereka.

"Beta tidak mahu perkara ini berlaku di negeri Selangor," titah baginda pada Majlis Menghadap Sultan Selangor oleh Warga Kerja Jais di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Sultan Selangor bertitah, baginda menyedari bahawa Mais dan Jais telah melalui pelbagai rintangan serta tohmahan yang tidak berasas, namun titah baginda dalam mengharungi arus pemodenan, cabaran untuk memelihara dan menjaga kesucian agama Islam amat besar sekali.

Ini adalah kerana generasi masa kini sering terdedah dengan pelbagai berita dan maklumat palsu yang mengelirukan sehingga kadang-kadang boleh memesongkan akidah umat Islam, titah baginda.

Justeru, baginda bertitah, setiap warga Mais dan Jais perlu memainkan peranan dalam memelihara kredibiliti institusi agama Islam itu.

"Tugas dan fungsi utama Jais adalah penguatkuasaan, justeru Jais perlu sentiasa memastikan penguatkuasaan terhadap isu berkaitan dengan agama Islam di Selangor dilakukan dengan baik dan sempurna dengan mengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Setiap penguatkuasaan yang dilakukan mestilah dilakukan secara berhati-hati, berhemah, adil serta mengikut prosedur dan undang-undang yang telah ditetapkan," titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah, Jais perlu mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lengkap dan kemas apabila menjalankan tugas penguatkuasaan serta perlu mengelak daripada bertindak kasar dan keterlaluan serta mengetepikan hak seseorang individu di bawah undang-undang.

Baginda bertitah, prosedur yang teratur ini penting bagi memelihara nama baik Jais kerana terdapat golongan tertentu yang sentiasa mengambil kesempatan untuk mempertikaikan setiap tindakan dan kredibiliti Jais dalam melaksanakan tugas.

"Apabila sesuatu tugas penguatkuasaan dilakukan, Jais perlu membawa bersama-sama peralatan yang lengkap untuk siasatan dan serbuan seperti kamera, video kamera, buku diari, peralatan lain serta saksi yang boleh dipercayai selain bekerjasama dengan pihak polis, Rela dan agensi kerajaan lain bagi melicinkan sesuatu operasi serta menjaga keselamatan pegawai yang menjalankan operasi penguatkuasaan.

"Pada masa sama, beta mahu Jais sentiasa menjalankan tugas secara profesional, tidak keterlaluan dalam melaksanakan penguatkuasaan, menghormati penganut agama lain dan sentiasa melakukan sesuatu tindakan secara berhemah," titah baginda.

Sultan Selangor dalam pada itu turut menasihatkan Jais supaya bertindak dalam lingkungan tugas yang melibatkan kesalahan terhadap isu agama Islam sahaja tanpa mengganggu tugas serta bidang kuasa pihak berkuasa tempatan seperti penguatkuasaan terhadap rumah urut dan sebagainya.

Baginda bertitah ini adalah bagi mengelak tohmahan bahawa Jais mengambil tindakan bukan dalam bidang kuasa mereka dan lebih menumpukan perkara yang remeh sedangkan isu yang lebih besar tidak diberikan keutamaan.

"Oleh itu beta menasihatkan supaya Jais memberi penekanan yang lebih kepada penguatkuasaan terhadap kes yang lebih berat dan penting seperti kes melibatkan ajaran agama sesat, isu murtad, isu berkaitan ceramah tanpa tauliah dan isu berkaitan ceramah politik di masjid dan surau yang boleh mencemarkan kesucian agama Islam serta yang boleh merosakkan akidah dan menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam," titah baginda. - Bernama


Kemaskini pada 2014-08-08 15:30:40 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page