Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

10 Dis 2014 : Desak MB atasi masalah tanah

SUNGAI AIR TAWAR – Penduduk di Dun Sungai Air Tawar mendesak Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali turun padang menyelesaikan kemelut yang dihadapi penduduk berhubung isu kira-kira 200 ekar tanah yang diusahakan sebuah anak syarikat kerajaan negeri bagi projek tanaman kelapa sawit.

Penduduk, Ahmad Mustain Othman, 48, berkata, menteri besar diminta tampil membela nasib rakyat di Dun Sungai Air Tawar bagi memastikan projek tanaman sawit melibatkan kawasan hutan Sungai Tengar Utara hingga Parit Baru Baroh itu dinikmati rakyat setempat.

Menurutnya, penduduk tidak membantah projek itu tetapi menuntut 50 peratus daripadanya diberi kepada rakyat untuk dijadikan tapak perumahan.

“Jika perjanjian perundangan tidak membolehkan tanah ini diberi kepada rakyat, banyak lagi tanah kerajaan negeri seperti di Sungai Lang boleh dibangunkan sebagai tapak rumah,” katanya.

Katanya, sekiranya menteri besar mempertimbang kan cadangan terbabit, penduduk berhasrat menamakan perkampungan baharu yang diwujudkan itu sebagai ‘Kampung Mohamed Azmin’ seperti mana Kampung Dato’ Hormat bersempena nama bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Hormat Rafie.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Suara Jati Bumiputra (Suara Jebat), Ishak Basiran berkata, tanah itu asalnya dimohon penduduk kampung untuk dibangunkan penempatan, namun ditolak bekas menteri besar sebelum ini  atas dasar kerajaan negeri membekukan permohonan tanah pada waktu itu.

“Bagaimanapun, penduduk terkejut apabila tanah tersebut diserahkan kepada anak syarikat kerajaan negeri untuk dibangunkan,” katanya.

Beliau yang mewakili Suara Jebat mendesak menteri besar menangani masalah terbabit sebagai bukti kerajaan negeri ikhlas merakyatkan ekonomi Selangor.

“Jika masalah ini masih gagal diselesaikan, kami rela kerajaan PR tumbang dalam pilihan raya nanti kerana kita mahu kerajaan yang mentadbir negeri ini serius membela nasib rakyat,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Jamal Halim Tamat, 42, berkata, masalah itu sudah lama berlarutan, namun masih tiada penyelesaian yang diambil kerajaan negeri bagi meredakan kemarahan penduduk.

“Kami sedia ditangkap semula, asalkan tanah tumpah darah kami dapat terus dipertahankan,” katanya.

Kemaskini pada 2014-12-15 12:20:58 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page