• Kakitangan Majlis Daerah Sabak Bernam terpaksa menggunakan jentolak untuk membersihkan tujuh unit rumah terbengkalai yang semak dan dipenuhi kelawar.Kakitangan Majlis Daerah Sabak Bernam terpaksa menggunakan jentolak untuk membersihkan tujuh unit rumah terbengkalai yang semak dan dipenuhi kelawar.
< 1 / 1 >
SABAK BERNAM – Tujuh unit rumah terbengkalai sejak 30 tahun lalu di Taman Raya Sabak Bernam yang ditumbuhi semak-samun; pokok kelapa sawit dan menjadi sarang kelawar dibersihkan bagi memulihkan semula kawasan terbabit.

Setiausaha taman itu, Khallilullah Nawawi berkata, rumah terbiar itu dikhuatiri menjadi tempat pembiakan nyamuk serta haiwan berbisa lain seperti ular dan lipan.

Sehubungan itu, katanya, jawatankuasa taman bersama-sama Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB); Pejabat Kesihatan Daerah; Perhilitan; Jawatankuasa Kemajuan dan keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) mengadakan program gotong-royong di kawasan berkenaan.

“Keadaan tidak terurus di tujuh unit rumah terbengkalai itu membimbangkan penduduk dan usaha seperti ini diharap dapat menghapuskan tempat pembiakan aedes, kelawar dan haiwan berbisa demi keselamatan penduduk dan mempertingkatkan keceriaan,” katanya.

Menurut Khalilullah, penduduk telah menjalankan tiga kali gotong-royong sebelum ini secara kecil-kecilan tetapi pada kali ini pelbagai pihak turut terlibat dalam usaha memulihkan semula kawasan terbabit.

Penolong Pegawai Kesihatan dan Persekitaran MDSB, Helmi Hamzah berkata, pihaknya telah menyediakan pelbagai peralatan termasuklah sebuah jentolak, sebuah lori dan sebuah jentera untuk kegunaan tempat tinggi (Skylift).

“MDSB juga menghantar 35 orang kakitangan sukarela untuk membantu. Saya kagum dengan kesungguhan penduduk Taman Raya menganjurkan gotong-royong ini dan sepatutnya taman-taman perumahan lain mencontohi mereka,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekututuan (JKKKP) Kampung Batu 40, Sanuddin Jais berkata, selain memastikan keadaan kediaman itu bersih dan bebas denggi, aktiviti gotong-royong ini juga berjaya memperkukuhkan perpaduan penduduk.

“Perkara yang paling penting adalah kesedaran tentang penjagaan kebersihan tempat kediaman semakin menebal dan setiap penduduk sanggup turun padang bekerjasama bagi memastikan program ini berjaya dan memperoleh impak maksima,” katanya.

Sinar Harian 30 April tahun lalu pernah melaporkan berkaitan deretan tujuh unit rumah yang terbengkalai sejak kira-kira 30 tahun lalu yang  ditumbuhi semak samun dan menjadi habitat kelawar.

Pengerusi Taman Raya Sabak Bernam, Nahrawi Taib berkata, penduduk yang tinggal berhampiran sering mengadu kepada jawatankuasa penduduk berhubung gangguan bunyi bising dan bau busuk najis kelawar.

“Kami pun tak tahu apa yang harus dilakukan kerana jika dirobohkan, kami bimbang akan disaman oleh pemilik rumah berkenaan,” katanya.