Ahmad Yunus (kiri) melawat bekas bangunan SRA Sekendi lama yang kini terbiar bersama-sama pengurusan Kittis
SABAK BERNAM – Kolej Integrasi Tahfiz Tunas Ilmuan Selangor (Kittis) memohon Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mempertimbang kelulusan cadangan permohonan untuk menggunakan bangunan lama Sekolah Rendah Agama (SRA) Sekendi yang terbiar sejak 2005.
Pengerusinya, Profesor Zainal Abidin Kidam berkata, Kittis di bawah seliaan Yayasan Pendidikan Islam Selangor (Yapis) itu memerlukan bangunan tambahan bagi menempatkan asrama dan tempat pembelajaran pelajar tahfiz lelaki.
Menurutnya, pada masa ini, seramai 129 pelajar lelaki dan perempuan ditempatkan di Kompleks Kittis di Sabak Bernam, bagaimanapun bilangan pelajar yang menyambung pengajian peringkat menengah di Kittis dijangka akan meningkat pada tahun hadapan.
“Kapisiti pelajar akan datang mungkin tak cukup kerana Kittis hanya mampu memuatkan antara 40 atau 50 pelajar lagi, sedangkan keperluan untuk memasuki Kittis amat tinggi,” katanya.
Zainal Abidin berkata, bangunan SRA Sekendi yang terletak dalam kawasan Masjid Sekendi itu dipilih memandangkan bangunan itu sudah lama terbiar, malah masyarakat setempat dan jawatankuasa masjid turut bersetuju agar bangunan itu ‘dihidupkan’ kembali.
Menurut beliau, pihaknya juga telah menghantar kertas kerja berhubung permohonan terbabit, namun sehingga kini Jais masih belum memberi sebarang maklum balas berhubung status permohonan berkenaan.
“Jarak perjalanan antara Kittis dan tapak bekas bangunan SRA itu dianggarkan antara dua hingga tiga kilometer sahaja daripada Kompleks Kittis dan kita berharap agar cadangan ini dipertimbangkan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata, Kittis yang menerima pelbagai anugerah berikutan pencapaian cemerlangnya dalam akademik dan pembelajaran tahfiz juga menerima sumbangan pihak tertentu bagi kerja baik pulih bangunan berkenaan.
“Ada pihak yang telah menawarkan penajaan pembiayaan bagi kos naik taraf bangunan sedia ada itu dengan nilai anggaran RM350,000 hingga RM400,000 malah saya difahamkan kontraktor juga telah dilantik bagi tujuan ini,” katanya.
Sementara itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, cadangan Kittis itu ada asasnya memandangkan semua SRA di negeri ini adalah di bawah pentadbiran Jais.
“Bangunan ini dah lama terbiar, jadi satu kerugian awam jika tidak digunakan. Kalau bawah SRA dan Jais kita boleh fikirkan bagaimana kita dapat optimumkan penggunaannya,” katanya.
Kemaskini pada 2014-12-22 10:22:19 daripada Administrator