Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

07 Jan 2015 : 'Keras, waras dan beras'

  • Waris Kiyai Mufrad yang hadir pada Majlis Sambutan 100 Tahun Kampung itu.Waris Kiyai Mufrad yang hadir pada Majlis Sambutan 100 Tahun Kampung itu.
< 1 / 3 >
KETOKOHAN dan kewibawaan seorang imam yang amat dihormati penduduk suatu ketika dulu diabadikan pada nama sebuah kampung tradisional di Sabak Bernam.

Mengikut sejarahnya, nama Kampung Tebuk Mufrad diambil sempena nama Allahyarham Kiyai Mufrad yang suatu ketika pernah mendiami kampung itu dengan menjadikan masjid kampung itu sebagai pusat pentadbiran dan penyatuan penduduk setempat.

Kampung itu dahulunya dipanggil Kampung Matang, diteroka seawal tahun 1914 oleh kelompok peneroka dari Jawa, Indonesia dan ditukar nama kepada Tebuk Mufrad atas nama pengasas dan imam pertama kampung itu.

Ketua Kampung Tebuk Mufrad, Suhaimi Kasiman berkata, sehingga kini, masjid yang menjadi pusat penyatuan penduduk kampung itu terus kekal sebagai rumah ibadah di kampung itu meskipun sudah menjangkau usia 100 tahun.

“Jasa dan sumbangan Kiyai Mufrad kepada penduduk amat bermakna kepada generasi hari ini dan kita amat berharap agar suasana penyatuan yang dicetuskan Allahyarham terus kekal sampai bila-bila,” jelas Suhaimi.

Beliau berkata, kampung yang berada tujuh kilometer (KM) dari Pekan Sungai Air Tawar dan 12 KM dari Pekan Sabak Bernam turut menghubungkan lima kampung berhampiran iaitu Kampung Perenggan; Tebuk Marjan; Tebuk Jawa; Tebuk Berihun dan Estet Kampung Baharu.

Jelas Suhaimi lagi, penduduk kampung itu terdiri daripada keturunan Jawa, Banjar dan Kampar dan mereka ini saling bantu-membantu antara satu sama lain dalam segala hal termasuk usaha membangunkan kampung berkenaan.
 
Beliau berkata, kebanyakan penempatan penduduk di kampung itu pada masa kini dibina di sepanjang jalan raya kerana lokasinya yang lebih strategik, selain memudahkan perhubungan.

“Uniknya penduduk kampung terdiri daripada pelbagai latar belakang, kedudukan penempatan di kampung ini juga berbeza-beza, ada yang dibina sederet, berselerak dan terpencil.

“Selain Kiyai Mufrad, empat pemimpin berjasa kepada kampung ialah Anuar Yussof (1964); Daris Kadiran (sehingga 1974); Khabib Khalil (sehingga 2007) dan Ismail Zakaria (sehingga 2008). Mereka berjaya membangunkan kampung dengan cemerlang,” ujarnya.

Kampung itu, jelasnya, berpegang kepada tiga prinsip pegangan masyarakat Jawa iaitu ‘keras, waras dan beras’ yang membawa pengertian seseorang itu seharusnya bekerja keras, memiliki tubuh badan sihat dan mendapat makanan secukupnya sekiranya ingin berjaya

dalam kehidupan. Lebih membanggakan, katanya, sejarah kampung itu juga diwarisi penduduknya apabila buku berjudul ‘Jejak Sejarah Kampungku’ dilancarkan sempena Majlis Sambutan 100 Tahun kampung berkenaan.

“Buku itu ditulis Muhd Khailani Abdul Jalil selaku Ketua Pengarang yang turut dibantu Jamil Adimin, Razali Mohsin, Yaakob Zakaria dan Mohd Kamali Adimin,” katanya.

Buku ini mengambil masa empat bulan kerana ia perlu ditulis berdasarkan penyelidikan dan kajian bagi mempersembahkan sejarah kampung yang amat bernilai tinggi.

Pelbagai maklumat penting terkandung dalam buku ini termasuklah sejarah asas penubuhannya; biografi Kiyai Mufrad; tokoh pemimpin kampung; lokasi; penempatan penduduk; sejarah masjid menjadi tempat pentadbiran; pekerjaan utama penduduk dan aktiviti kebudayaan
setempat.

Pegawai Daerah Sabak Bernam, Samsudin Mon diberi penghormatan merasmikan Majlis Sambutan 100 Tahun Kampung itu seterusnya melancarkan buku 'Jejak Sejarah Kampungku' yang turut dihadiri Adun Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abd Malik dan Adun Sabak, Sallehin Muhyi.

Menurut Muhd Khailani, hanya sebuah masjid sahaja yang dibangunkan untuk kegunaan kariah kampung Tebuk Mufrad sehingga kini  dan ia berfungsi sebagai pusat pengajian agama yang menjadi tumpuan utama penduduk selain tempat penyatuan ummah dan lambang kekuatan Islam.

“Kampung ini juga memiliki pelbagai prasarana lain seperti surau, balai raya, sekolah rendah agama, maahad tahfiz, klinik desa, tabika Kemas, gelanggang serbaguna dan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik,” katanya

“Paling istimewa, majlis ini turut dihadiri waris terdekat kepada Kiyai Mufrad iaitu Datuk Markiman Kobiran yang turut memberikan kerjasama dalam penyelidikan dan kajian bagi menghasilkan buku tersebut,” kata Muhd Khailani lagi.

Kemaskini pada 2015-01-08 09:58:18 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page