Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

04 Feb 2015 : Merah serupa darah orang

  • Sungai Bernam yang memisahkan kampung itu di Sabak Bernam dengan Perak suatu ketika dulu menjadi antara laluan perhubungan utama penduduk bagi kegiatan mencari hasil sungai dan rotan di hutan.Sungai Bernam yang memisahkan kampung itu di Sabak Bernam dengan Perak suatu ketika dulu menjadi antara laluan perhubungan utama penduduk bagi kegiatan mencari hasil sungai dan rotan di hutan.
< 1 / 1 >

KAMPUNG Merbau Berdarah! Mungkin bagi mereka yang baharu pertama kali mendengar nama kampung ini tertanya-tanya asal usul nama kampung itu yang mungkin ada peristiwa berdarah menyayat hati berlaku di kampung terbabit.

Namun, apa yang pasti, tiada satu pun peristiwa berdarah yang berlaku di kampung yang dipercayai wujud sejak ratusan tahun lalu oleh masyarakat Bugis yang datang membuka penempatan di kampung terbabit.

Seorang penduduk lama di kampung itu, Ahmad Nayan, 67, berkata, nama Kampung Merbau Berdarah itu dipercayai diambil sempena nama pokok kayu merbau yang terdapat di tepi-tepi sungai kampung terbabit.

Pokok kayu merbau katanya, akan mengeluarkan getah seakan-akan warna darah dan apabila ditoreh, getahnya itu akan mengalir dan menitis jatuh ke tanah.

Ahmad memberitahu, sewaktu penempatan awal penduduk, mereka menjalankan aktiviti ekonomi dengan menangkap ikan di sungai dan mencari hasil rotan di hutan akan menambat sampan mereka pada batang pokok merbau yang mengeluarkan getah terbabit.

“Setiap kali penduduk menambat sampan, pasti getah pada pokok akan terkeluar seperti ada darah pekat yang mengalir. Jadi bila orang kampung bertanya nak ke mana? Jadi mereka akan jawab nak ke merbau berdarah,” ulasnya lanjut.

Getah warna merah

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Parit 16 Binjai Jaya, Mohd Yatim Paat berkata, kampung Merbau Berdarah terletak di Mukim Sungai Panjang.

“Kampung ini bersama empat kampung lain iaitu Kampung Hala Cara Baru, Parit 17, Parit 18 dan 19 serta Kampung Tanjung Medan terletak  dan di bawah pentadbiran JKKP  Parit 16 Binjai Jaya,” ujarnya.

Katanya, nama kampung itu diberikan oleh Raja Zarina Raja Zainal pada tahun 1971 yang berkenan berangkat ke kampung berkenaan bagi meninjau projek rancangan penempatan belia di Kampung Rancangan Belia 1.

“Raja Zarina yang kebetulan menyaksikan penebangan hutan terkejut apabila mendapati terdapat sebatang pokok merbau mengeluarkan getah berwarna merah dan mencadangkan agar kampung itu diberi nama Merbau Berdarah,” katanya.

Meskipun nama merbau masih digunakan sehingga kini, tetapi sayangnya pokok merbau yang dipercayai mempunyai harga yang tinggi itu tidak lagi ditemui di kampung berkenaan.

“Pokok ini pun dah pupus disebabkan masalah hakisan sungai dan penebangan hutan untuk dijadikan penempatan penduduk. Biarpun pokok ini sudah tiada, namun nama kampung ini tetap diabadikan sehingga ke hari ini,” katanya.

Mula hanya 50 penduduk

Katanya, kampung itu diteroka oleh orang Bugis yang membuka penempatan di tepi-tepi sungai, malah terdapat juga orang dari Sumatera, Indonesia turut membuka penempatan di kawasan strategik itu.

“Kira-kira 50 penduduk terawal telah membina penempatan di sini dan jumlahnya semakin meningkat kerana di bawah pentadbiran JKKKP Parit 16 Binjai Jaya sahaja kini sudah mencecah lebih 2,000 orang penduduk,” katanya.

Kampung Binjai Jaya yang hanya dipisahkan melalui Sungai Bernam sejauh tiga Kilometer dengan negeri Perak dihuni masyarakat suku kaum Jawa dan Banjar manakala selebihnya Melayu di beberapa negeri lain termasuk Selangor.

“Boleh dikatakan bilangan kaum Jawa dan Banjar di sini sama ramai, tapi sayangnya kebanyakan generasi hari ini dah tak boleh bertutur dalam bahasa warisan ini, melainkan orang-orang tua berusia 40 tahun ke atas,” katanya.

Tokoh ilmuan dihormati, disegani

Jelasnya, kampung itu juga mempunyai seorang tokoh ilmuan paling dihormati dan disegani penduduk setempat iaitu bekas ketua kampung itu, Allahyarham Kasim Ridhuan ketika pentadbirannya sekitar pada tahun 1969.

“Allahyarham berasal dari Kampung Lubuk Pusing dan menetap di kampung ini. Beliau serba boleh sama ada dalam pengurusan jenazah, memandikan mayat, menjadi imam di masjid, guru agama dan guru silat.

“Ketokohan yang ada pada beliau masih dikenang penduduk sehingga kini dan beliau meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan pada kira-kira 13 tahun lalu,” katanya.

Menurut Mohd Yatim, Kampung Merbau Berdarah kini banyak mengalami perubahan berbanding dulu.

Katanya, ketika pemerintahan BN, kampung ini hendak dibangunkan menjadi pekan maju di Sungai Panjang, namun setelah parti pemerintah bertukar tangan ia hanya tinggal angan-angan.

“Apabila pemerintahan diambil alih PR, perancangan membangunkan kawasan ini terus terbantut.

“Tapi, masih terdapat beberapa kemajuan semasa pemerintahan BN yang dirancang dibangunkan termasuk pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di kawasan ini,” katanya.

Katanya, kekurangan sektor pekerjaan   di kampung itu menyebabkan kebanyakan golongan muda berhijrah ke bandar.


Kemaskini pada 2015-02-16 16:57:21 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page